Jaring gol dalam aksi debut, sepupu tak restu Dion Cools sertai JDT

6,182

Selepas menyertai FK Jablonec dari FC Midtjylland beberapa hari lalu, pemain kebangsaan, Dion Cools tidak menunggu lama untuk menambat hati para penyokong selepas menjaringkan gol sulungnya ketika debut.

Dalam aksi Piala Czech menentang Motorlet di Stadium SK Motorlet semalam, beliau meledak gol pembukaan buat FK Jablonec pada minit ke-17 untuk membantu pasukannya itu membelasah lawan 4-0.


Dalam perlawanan itu, Cools beraksi selama 90 minit dan persembahannya turut mendapat pujian ketua jurulatih, David Horejs.

Beliau gembira dengan kualiti yang ditunjukkan pemain berusia 26 tahun itu dan optimis bahawa ketibaan Cools di kelab itu akan membantu kelab.

Dalam satu hantaran Twitter yang dimuatnaik kelab itu meraikan jaringan Cools, seorang gadis yang mendakwa dirinya sepupu kepada pemain itu ada meninggalkan satu pesanan.

Gadis tersebut yang bernama Hannah Humaira berharap supaya Cools akan kekal beraksi di Eropah dan tidak menyertai pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Walaupun baru sahaja menyertai kelab Republik Czech itu, ramai yang menganggap bahawa ia hanyalah persinggahan sementara sebelum beliau kembali ke Malaysia.

Ini kerana, pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah memberitahu bahawa baginda akan menandatangani Cools pada hujung tahun ini atau tahun hadapan selepas kontraknya tamat.

Selepas Cools sah ke FK Jablonec baru-baru ini juga, baginda ada memuatnaik satu Instastory dengan kapsyen “happy four months stopover, see you in Johor January”dan ramai yang melihat bahawa itu adalah bayangan bahawa pemain itu akan sah berada di selatan tanah air Januari nanti.

Walaupun sudah tidak turun dalam perlawanan kompetitif bersama FC Midtjylland, beliau berjaya menampilkan aksi meyakinkan pada perlawanan semalam.

Ini menunjukkan bahawa Cools masih mengekalkan prestasinya dan mampu beraksi dengan baik di liga Eropah.

Ketika ini, hanya Cools sahaja yang mengetahui perancangan untuk masa depannya, namun sudah pasti ramai juga pihak yang mahukannya terus beraksi di Eropah supaya dapat bermain di tahap yang lebih tinggi.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen