Mahu cari cabaran baru, Nafuzi Zain tidak lagi kekal di Terengganu FC musim depan

2,508

Selepas lebih tiga tahun membimbing Terengganu FC, tempoh Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih nampaknya sudah hampir pasti tamat pada hujung musim ini.

Jurulatih yang berasal dari Kelantan itu mengakui bahawa sudah tiba masanya beliau mengambil cabaran baru untuk mengembangkan karier kejurulatihan beliau.


Penghujung tahun lalu, Nafuzi dilihat hampir meninggalkan pasukan itu tetapi akhirnya kekal selepas menandatangani lanjutan kontrak.

Namun situasi kali ini nampaknya berbeza apabila beliau nampak betul-betul tekad mengenai masa depannya itu.

Pengumumannya itu sudah tentu menarik perhatian beberapa kelab yang ketika ini sedang dalam prestasi yang terumbang-ambing seperti Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC.

Masa depan ketua jurulatih Kedah, Aidil Shahrin Sahak ketika ini tidak selamat selepas Sang Kenari gagal mengulangi prestasi musim lalu.

Selangor pula masih tercari-cari jurulatih yang sesuai menggantikan Michael Feichtenbeiner yang dilepaskan daripada tugasan sebagai ketua jurulatih bulan lalu.

Selain daripada dua kelab itu, tidak mustahil juga beliau kembali ke negeri kelahirannya untuk melatih Kelantan FC memandangkan pemilik kelab, Norizam Tukiman ada memberi bayangan bahawa ketua jurulatih baru akan menggantikan Rezal Zambery Yahya bagi saingan Liga Super musim depan.

Prospek untuk menandatangani Nafuzi sudah tentu tidak akan dilepaskan oleh mana-mana kelab kerana ‘anak emasnya’, Faisal Halim berkemungkinan besar akan mengikuti ke mana saja destinasi beliau.

Faisal sebelum ini pernah memberitahu bahawa beliau akan kekal di Terengganu sekiranya Nafuzi juga kekal.

Ini sudah tentu satu perkara yang buruk buat pasukan Terengganu memandangkan Faisal merupakan salah seorang pemain paling berpengaruh dalam pasukan, sudah mencetak tujuh gol serta lapan bantuan gol musim ini.

Malah sebilangan penyokong Terengganu juga dilihat sudah menerima bahawa kedua-dua jurulatih dan pemain itu tidak akan bersama mereka lagi.

Justeru, peluang yang jarang tiba ini tidak patut dilepaskan oleh kelab-kelab lain yang berminat untuk mendapatkan khidmat kedua-dua individu tersebut.