Sanusi terus rancak ‘tauk’ umpan, ramai yang ‘koyak’

6,721

Walaupun Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor nampaknya terus rancak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menghiburkan ramai terutamanya peminat bola sepak tanah air.

Biarpun beliau kini tiada kaitan dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), namun beliau dilihat tetap memberi sokongan kepada pasukan Sang Kenari apabila dilihat turut hadir pada perlawanan Liga Super membabitkan KDA FC menentang Selangor FC semalam di Stadium Darul Aman.


Kehadiran beliau tidak terhenti di situ sahaja kerana semua sedia maklum dengan ‘perangai’ Sanusi yang sering mengeluarkan kenyataan ‘menghiburkan’ apabila beliau berkata ‘Player import kami reti ooo cakap Kedah, Hang ni awattt, Hang pasai paaa’.

Walaupun beliau tidak ‘tuju’ status yang dibuat di laman sosial Facebook miliknya itu kepada sesiapa, namun ramai yang mengaitkannya dengan kenyataannya pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak pandai cakap Johor ketika memuat naik video mengucapkan tahniah kepada JDT yang berjaya menjulang trofi Piala FA baru-baru ini.

Sanusi sebelum ini menjadi bualan peminat bola sepak ketika ‘perang’ kenyataannya dengan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris sebelum ini.

Kenyataannya itu turut mendapat kecaman banyak peminat terutamanya peminat JDT yang menjadikan Sanusi sebagai ‘bahan’ sindiran.

Sebelum posting terbarunya semalam, beliau juga ada memuat naik status berbentuk seloka;

‘Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

‘Disangka ayamnya menang pak kadok melompat bersorak.

‘Disuruh berkokok nak bunyi eerrkkk! pun tak pandai.’

Walaupun menjelaskan seloka itu tidak ditujukan kepada sesiapan, namun ada peminat yang ‘melatah’ dengan seloka tersebut.

Susulan itu, beliau sekali lagi seperti mencurah minyak ke api dengan berkata; ‘Awat depa koyak taktau.’

Ketika ramai yang mengecam tindakan Sanusi, namun masih ada yang menyokong kerana merasakan dalam dunia bola sepak perlu ada individu sepertinya untuk memeriahkan lagi suasana Liga Malaysia.

Dengan adanya ‘peperangan’ seperti ini ia sedikit sebanyak memberi publisiti mengenai bola sepak tanah air sekaligus dapat mengajak orang ramai untuk turun ke stadium yang mana ketika ini setiap pasukan bergelut untuk menarik peminat ke stadium masing-masing.

Penstrukturan Liga Malaysia pada musim hadapan juga diharap dapat membantu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Malaysia yang dilihat ketika ini semakin suram dan hanya meriah apabila tiba perlawanan akhir piala sahaja.