Pemergian Samy Vellu satu kehilangan besar buat negara

230

Awal pagi tadi, negara dikejutkan dengan pemergian bekas Menteri Kerja Raya, Tun S. Samy Vellu yang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada usia 86 tahun.

Mendiang merupakan salah seorang figura yang paling terkenal dalam arena politik negara, menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput dari 1974 sehingga 2008 dan merupakan Presiden MIC paling lama iaitu 31 tahun sejak 1979.


Beliau berkhidmat sebagai Menteri Kerja Raya dari 1983 hingga 1989 dan sekali lagi dari 1995 hingga 2008, menjadikan beliau Menteri Kabinet yang paling lama berkhidmat iaitu selama 29 tahun.

Sejak mula menceburi politik pada usia 23 tahun, mendiang telah banyak memberi sumbangan kepada negara dan juga masyarakat India khususnya.

Beliau merupakan individu penting yang menyebabkan tertubuhnya Maju Institute of Educational Development (MIED), Kolej Tafe Seremban serta Asian Institute of Medicine, Science and Technology (Aimst).

Walaupun tidak begitu aktif dalam bidang sukan, sebuah kejohanan pernah diwujudkan bagi memberi penghormatan kepada dirinya iaitu Piala Datuk Seri S. Samy Vellu.

Beliau sendiri turut hadir bagi menyaksikan dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang di kejohanan itu.

Beliau adalah seorang negarawan yang disegani oleh kawan dan juga lawan, pemergian beliau adalah satu kehilangan yang besar buat negara.

Takziah diucapkan kepada keluarga mendiang di atas kehilangan ini.