Alexandra Eala harumkan nama Filipina raih gelaran juara Grand Slam Junior di US Open

293

Pemain tenis muda daripada Filipina, Alexandra Eala baru-baru ini mengharumkan nama negaranya selepas menjadi pemain Filipina pertama yang memenangi gelaran Grand Slam Junior di US Open.

Kemenangan itu adalah amat besar bagi rakyat Filipina sehinggakan ahli politik di negara itu meluluskan Resolusi Dewan 362 yang memberi penghargaan secara formal buat pemain itu.


Kejayaannya itu membuatkan lebih ramai pihak dari kerajaan memberi tumpuan terhadap kariernya.

Mungkin selepas Manny Pacquiao, beliau boleh menjadi personaliti sukan yang paling popular di Filipina.

Sebelum ini, Harimau Malaya pernah menemubual pemain tenis nombor satu negara, Christian Didier Chin yang merasakan bahawa sukan tenis tidak begitu mendapat sambutan di negara ini.

Beliau yang mesra dipanggil Chris merupakan pemain Malaysia pertama yang bermain di Australian Open Junior pada 2018.

Sekiranya lebih banyak usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan bagi merancakkan sukan tenis di negara ini, tidak mustahil Chris mampu pergi lebih jauh.

Menurut Chris, beliau memasang impian untuk bermain dalam mana-mana kejohanan Grand Slam.

Namun beliau terpaksa berlatih di luar negara gara-gara sukar mendapatkan kepakaran di negara ini.

Sebenarnya, ramai sahaja atlet yang mempunyai potensi untuk berada di peringkat yang lebih tinggi sekiranya kerajaan melabur dalam sukan tersebut.

Lihat sahaja hoki yang mampu layak ke Piala Dunia walaupun boleh dikatakan tidak begitu diberi perhatian.

Cuba bayangkan sejauh mana mereka boleh pergi sekiranya mempunyai sokongan yang padu seperti sesetengah sukan lain.