Lakukan debut pada usia 13 dan 14 tahun, dua pemain muda buktikan umur hanyalah angka

1,815

Di dalam sukan, umur hanyalah satu angka dan tidak memberi apa-apa kelebihan buat seseorang atlet ketika beraksi.

Buktinya, ramai sahaja atlet yang berjaya menggegar dunia ketika mereka masih muda, walaupun bersaing dengan atlet yang lebih berpengalaman.


Baru-baru ini, dua pemain bola sepak muda di luar negara membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang sekiranya bakat yang dimiliki benar-benar hebat.

Pemain kelab Ireland Utara, Glenavon FC iaitu Christopher Atherton menjadi pemain paling muda yang beraksi dalam perlawanan bola sepak kompetitif di United Kingdom.

Beliau melakukan debutnya ketika usia 13 tahun 329 hari ketika menang ke atas Dollingstown FC 6-0.

Sementara itu, dalam kejohanan Piala Australia pula, penjaga gol Oakleigh Cannons, Ymer Abili yang berusia 14 tahun menjadi pemain termuda beraksi di kejohanan itu.

Walaupun mereka berdua masih bawah umur dan ‘mentah’, mereka berjaya mendapat kepercayaan jurulatih masing-masing untuk menggalas tanggungjawab yang besar.

Di Malaysia, kita juga mempunyai pemain muda berbakat seperti Arif Aiman yang berjaya menempatkan dirinya dalam barisan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Mungkin Arif tidak semuda Atherton ataupun Abili tetapi beliau berjaya mengetepikan ramai pemain-pemain yang lebih senior darinya.

Kejayaan pemain-pemain tersebut harus dijadikan inspirasi oleh pemain-pemain muda lain untuk bekerja lebih keras dan percaya bahawa peluang mereka ada untuk bersaing bersama pemain yang lebih berpengalaman.