Walaupun anak saya kemalangan teruk, saya tak suruh berhenti, hanya doakan boleh berlumba kembali – Yahaya Mohammed Noor

158

Bapa kepada pelumba Supermoto negara, Khairulamirin Yahaya iaitu Yahaya Mohammed Noor tidak pernah menghalang minat anaknya dalam sukan permotoran walaupun anaknya itu pernah berdepan dengan kemalangan ngeri ketika perlumbaan.

Menurutnya, beliau dan isteri tahu sukan permotoran adalah minat anaknya dan memberi sokongan penuh walaupun terpaksa berkorban wang ringgit.


“Ketika itu beliau berlumba di Sepanyol dan apabila kami terima panggilan daripada pengurusnya pada pukul 4 pagi, kami tahu ada sesuatu serius yang berlaku.

Perasaan sedih memang ada mendengar keadaannya tetapi kami tak pernah terfikir untuk menyuruhnya berhenti, kami hanya berdoa supaya beliau boleh kembali berlumba selepas ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kahirulamirin terlibat dalam kemalangan di Sepanyol dalam satu sesi latihan terakhir sehingga menyebabkannya terpaksa dimasukkan ke hospital selama 46 hari dan menjalani dua pembedahan.

Dalam pada itu, Yahaya juga mengakui beliau berhenti kerja pada 2010 untuk membuka satu perniagaan bagi membolehkannya menyara minat anaknya dalam sukan permotoran.

Katanya, sehingga kini beliau masih lagi mengeluarkan wang bagi menampung beberapa perbelanjaan yang berkaitan.

“Kalau ikutkan makan gaji memang tak cukup saya sendiri tahu sukan ini memerlukan perbelanjaan besar, terutama jika kategori cc semakin besar.

Tapi sekarang bila beliau dah ada nama sikit, penaja sudah mula berminat menajanya dan saya yakin dengan sikap dan caranya melayan orang ramai, akan ada lagi penaja lain.”

Walaupun minat anaknya kepada dunia permotoran, beliau sering menasihatkannya untuk menyediakan pelan lain sekiranya sudah tidak lagi berlumba.

Katanya, dalam dunia permotoran yang penuh dengan risiko ini, apa-apa sahaja boleh berlaku pelan lain harus dirancang.