Sudah tentu ada rasa cemburu dengan Kelantan FC, tapi tiada hasrat untuk bergabung – Anas Karimi
Ketua pegawai eksekutif Kelantan United FC, Anas Karimi mengakui kejayaan serta sokongan padu yang diraih oleh pasukan Kelantan FC membuatkan kelab itu berasa cemburu.
Menurutnya, beliau sedar sebagai sebuah pasukan yang baru, sukar untuk berlawan dengan pasukan Kelantan bagi menarik rakyat negeri Kelantan untuk menyokong mereka.
“Kita akui para peminat bola sepak di Kelantan masih lagi mengharapkan pasukan Kelantan dengan segala kejayaan yang mereka kecapi sebelum ini.
Mana-mana pasukan pun ada perasaan cemburu melihat kejayaan pasukan lain dan saya sendiri tak boleh paksa rakyat Kelantan untuk sokong Kelantan United, siapa yang mahu sokong kami saya alu-alukan manakala yang mahu sokong Kelantan pula saya alu-alukan pilihan mereka,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, beliau menolak khabar angin mengenai penggabungan kedua-dua kelab itu dengan mengatakan perkara itu tidak pernah terlintas di fikiran pihak pengurusan.
Katanya, bola sepak di negeri Kelantan akan lebih baik sekiranya terdapat lebih banyak pasukan yang mewakili negeri itu.
“Adakah dengan penggabungan ini dapat kuatkan sesebuah pasukan? Sebelum ini ketika Kelantan sahaja satu-satunya pasukan di negeri ini, kita dapat lihat mereka berada di puncak kejayaan dan kemudian mereka jatuh.
Dengan wujudnya lebih daripada satu pasukan, kita dapat mencungkil lebih banyak bakat serta menyediakan peluang perkerjaan yang lebih banyak buat rakyat tempatan.”
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya bersedia untuk berbincang mengenai idea itu sekiranya pihak Kelantan berminat.
Dalam pada itu, Anas berkata bahawa pasukan itu sudah bersedia untuk menghadapi saingan Liga Super musim depan termasuklah dari segi kewangan.
Menurutnya, pasukan itu akan terus mengekalkan prinsip mereka untuk tidak membayar gaji yang mahal kepada para pemain memandangkan bajet pasukan adalah kecil.
Tambahnya lagi, pihak pengurusan menyasarkan untuk terus kekal di Liga Super musim depan dan sekiranya mampu, menduduki tangga sepuluh teratas.
Jelasnya, buat masa ini, pihak jawatankuasa teknikal masih belum membuat keputusan lagi mengenai skuad musim depan dan menunggu sehingga musim tamat terlebih dahulu.