Brendan Gan tak fikir lilitan kapten, mahu teruskan persembahan baik di Selangor FC bersama Harimau Malaya
Pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan tidak mahu memikirkan tentang lilitan kapten dan hanya mahu fokus memberikan yang terbaik buat pasukan.
Menurutnya, beliau ada melakukan perjumpaan dengan ketua jurulatih, Kim Pan-gon bagi memperkatakan mengenai peranannya dalam pasukan kebangsaan dan gembira dapat kembali semula dalam pasukan.
“Ini adalah satu penghormatan untuk kembali semula mewakili negara selepas pelbagai cabaran yang saya lalui, saya tak sabar untuk berikan yang terbaik pada kejohanan King’s Cup nanti.
Ketika ini kesihatan saya berada dalam keadaan yang baik, cuma perlu melakukan beberapa pemeriksaan kesihatan beberapa bulan,”
katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Pan-gon ada mengatakan sekiranya beliau menampilkan prestasi yang ditunjukkan bersama Selangor FC, ia pasti akan membantu pasukan.
Beliau juga mengakui ada menonton aksi Harimau Malaya ketika kelayakan Piala Asia 2023 dan gemar akan gaya permainan yang ditunjukkan oleh pasukan.
“Mereka bermain hard pressing dengan intensiti tinggi, itu adalah bola sepak yang saya mahu main.
Saya harap saya dapat faham apa beliau mahukan dan sesuaikan diri dengan pantas bersama rakan-rakan.”
Tambahnya, ini adalah peluang buat semua pemain membuktikan kebolehan mereka kepada Pan-gon, namun mengakui persembahan dalam liga adalah lebih penting.