Saya tak pentingkan minit permainan apabila pilih pemain, tetapi karakter mereka – Kim Pan-gon

3,043

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon mengakui bahawa beliau tidak begitu mementingkan minit permainan dalam pemilihan pemain skuad kebangsaan.

Menurutnya, apa yang penting adalah karakter pemain ketika diturunkan walaupun hanya beraksi untuk beberapa minit.


“Apabila saya pilih pemain, saya lihat karakter mereka di atas padang. Ada pemain yang hanya beraksi selama 10 minit tetapi tunjukkan karakter yang baik dan ada juga yang beraksi seluruh perlawanan tetapi tidak meyakinkan.

Saya akui ada lagi beberapa pemain yang saya tidak dapat panggil disebabkan persaingan yang sengit di posisi mereka,”

katanya.

Beliau berkata, kejohanan ini adalah satu platform buat beliau untuk melihat aksi pemain yang beliau tidak dapat panggil sebelum ini.

Tambahnya, beliau juga mahu melihat sama ada pemain-pemain tersebut mampu menyesuaikan diri dengan falsafah yang ingin diterapkannya.

Dalam pada itu, beliau tidak gentar berdepan dengan pasukan-pasukan yang berada di ranking lebih tinggi pada kejohanan King’s Cup di Thailand.

“Ranking itu adalah refleksi apa yang dilakukan oleh setiap pasukan pada tahun-tahun sebelumnya.

Jadi tak semestinya mereka lebih kuat daripada kita, kejohanan ini adalah satu platform yang baik buat kami mencabar diri.”

Menurut Pan-gon, kesemua 25 pemain yang dipanggil akan dibawa ke Thailand bagi menghadapi kejohanan itu.

Malaysia bakal berdepan Thailand pada 22 September ini, sebelum bertemu sama ada Trinidad & Tobago atau Taijikistan pada perlawanan kedua yang dijadualkan pada 25 September.