Hassan Sazali belum mengaku kalah, percaya Malaysia masih mampu layak ke Piala Asia B-20

1,624

Ketua jurulatih skuad B-19 kebangsaan, Hassan Sazali Waras masih belum mahu mengangkat bendera putih mengenai peluang negara layak ke pusingan akhir Piala Asia B-20 di Uzbekistan tahun depan.

Selepas mencatat kemenangan ke atas 3-0 ke atas Sri Lanka pada perlawanan kelayakan kumpulan E semalam, beliau percaya moral pemain kembali meningkat sebelum perlawanan terakhir menentang Korea Selatan Ahad ini.


“Alhamdulillah kita mencapai kemenangan pada hari ini bagi mencerahkan laluan ke pusingan akhir kelak.

Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah membuat recovery secukupnya bagi menghadapi perlawanan menentang Korea Selatan kelak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jelasnya, beliau akan menonton analisis video bersama pasukannya sebelum memikirkan strategi yang sesuai untuk berdepan Korea Selatan.

Walaupun laluan negara ke kejohanan itu semakin sukar selepas seri menentang Mongolia pada perlawanan pertama, beliau masih optimis Malaysia mampu layak selaku salah satu daripada lima pasukan tangga kedua yang terbaik.

“Kita perlu menang dengan Korea Selatan untuk layak secara automatik, tetapi jika seri, kita perlu melihat kepada pasukan lain yang berada di kedudukan tempat kedua.

Untuk perlawanan Ahad ini, saya perlu melihat aksi Korea Selatan bersama pasukan analisis video bagi merencanankan strategi menentang mereka.”

Malaysia kini berada di tangga kedua kumpulan E selepas mencatat satu kemenangan dan satu seri dalam dua perlawanan pertama.

10 juara kumpulan dan lima pasukan tangga kedua yang terbaik akan layak ke Piala Asia B-20 tahun depan.