Mewakili negara saya Malaysia adalah satu penghormatan, saya harap lepas ini dapat ‘call up’ lagi – Declan Lambert

5,162

Pemain KL City FC, Declan Lambert merasakan panggilan ke skuad kebangsaan adalah satu penghormatan buat dirinya dan berharap dapat membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

Menurutnya, beliau akan menggunakan peluang pertama kali ini untuk menarik perhatian ketua jurulatih, Kim Pan-gon.


“Saya di sini untuk belajar dan saya harap selepas ini saya akan terus dapat panggilan seterusnya.

Sukar untuk katakan tidak kepada panggilan kebangsaan dan saya akan buat yang terbaik sekiranya diberi peluang,”

katanya.

Mengenai posisinya dalam pasukan kebangsaan, beliau berkata, Pan-gon ada memberitahunya bahawa posisinya di bahagian full back tetapi masih belum pasti sama ada di bahagian kiri atau kanan.

Menurutnya, beliau lebih selesa bermain di bahagian pertahanan kanan tetapi bersedia diturunkan di mana-mana posisi.

“Saya lebih gemar di pertahanan kanan kerana kaki dominan saya adalah kanan tetapi mana-mana posisi sama ada kanan, kiri atau tengah saya boleh bermain sekiranya jurulatih mahukan.

Saya rasa semua posisi ada saingan yang sengit dan mempunyai ramai pemain bagus jadi saya akan lakukan yang terbaik.”

Dalam pada itu, beliau tidak merasakan panggilan ke skuad kebangsaan akan memberi kesan kepada persediaannya bersama KL City dalam saingan Piala AFC.

Katanya, selepas kejohanan King’s Cup yang berakhir pada 25 September ini, beliau masih mempunyai masa yang cukup untuk berehat sebelum kembali bersama kelab.

Beliau juga merasakan bahawa saingan di liga Malaysia amat baik dengan kejayaan pasukan tempatan dalam saingan Asia menjadi bukti.