Dominic Tan tak kisah beraksi dalam sistem dua atau tiga pertahanan tengah

570

Pertahanan kebangsaan, Dominic Tan merasakan peluang buat semua pemain pertahanan tengah adalah seimbang dan bersedia untuk merebut tempatnya dalam kesebelasan utama.

Katanya, beliau tidak kisah sama ada bermain dalam posisi dua atau tiga pertahanan tengah dan percaya mana-mana pemain tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri.


“Bagi saya semua pemain yang berada di sini adalah amat berbakat jadi tiada masalah buat semua untuk menyesuaikan diri.

Setakat ini sesi latihan berjalan agak baik dan kami sudah bersedia untuk perlawanan menentang Thailand nanti,”

katanya.

Tambahnya, beliau tidak kisah beraksi di hadapan mana-mana penjaga gol sama ada Syihan Hazmi, Rahadiazli Rahalim atau Kalamullah Al-Hafiz.

Katanya, kesemua mereka berada dalam prestasi yang baik bersama kelab masing-masing, dan yakin semuanya akan menampilkan aksi yang baik.

Dalam pada itu, beliau mengakui sokongan yang diberikan oleh penyokong Sabah FC ketika beraksi untuk kelab sedikit sebanyak membantunya meningkatkan prestasi.

“Penyokong Sabah FC memang terbaik, selalu sokong kami jadi kami harap sokongan itu akan berterusan.

“Semua pemain yang berada di sini adalah berbakat, jika dipilih saya akan lakukan yang terbaik.”

Ketua jurulatih, Kim Pan-gon membawa 24 pemain ke Chiang Mai, Thailand bagi menghadapi kejohanan King’s Cup yang akan bermula 22 September ini.

Malaysia akan beraksi menentang Thailand pada perlawanan pertama sebelum bertemu sama ada Trinidad & Tobago atau Taijikistan pada perlawanan kedua.