Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing cemerlang raih kedudukan 1-2 kategori CP150 di Tangkak
Pasukan Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing cemerlang dalam kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix pusingan kelapan yang berlangsung di Litar Lumba Tangkak petang tadi apabila meraih kedudukan 1-2 di podium bagi kategori CP150.
Ahmad Afif Amran dan Md Izzat Zaidi Md Salehan memastikan penguasaan pasukan itu dengan persembahan mantap apabila masing-masing menamatkan kedudukan di tempat pertama dan kedua.
Afif mencatatkan masa terpantas bagi sesi perlumbaan akhir pada 15’05:875s manakala Izzat pula dengan catatan masa 15’07:601s.
Menurut Afif, beliau ada membuat sedikit kesilapan pada perlumbaan berkenaan namun cuba untuk mengejar kembali dan akhirnya berjaya memintas untuk tempat pertama.
“Semua ini adalah hasil usaha pasukan saya dan kru yang terlibat dalam penyediaan jentera.
Ini adalah antara strategi saya bersama rakan sepasukan saya sebab saya cuba memaksimumkan mata untuk juara keseluruhan. Saya berterima kasih kepada Izzat yang banyak menolong saya pada perlumbaan kali ini,”
katanya.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy dengan catatan masa 15’09:482s.
Bagi kategori CP125 pula, Md Irfan Haykhal Amidi dari pasukan Honda KC Racing berjaya menyambar tempat pertama dengan catatan masa 11’38:975s.
Menurut Irfan, selepas bermula di petak kesebelas pada permulaan perlumbaan, beliau segera cuba masuk ke kelompok lima teratas.
“Kemudian, pada setiap lap seterusnya, saya cuba untuk memintas seorang demi seorang dan pada lap ketujuh dan seterusnya, saya cuba mengambil P1 dan berjaya.
Lap terakhir sememangnya amat kompetitif tetapi saya cuba juga untuk teruskan momentum. Akhirnya, saya berjaya.”
Tempat kedua pula jatuh ke tangan Md Shafiq Rasol dari pasukan ONEXOX TKKR Racing team dengan catatan masa 11’38:979s manakala Md Fareez Afeez Abd Rahman dari pasukan YYPang Yamaha Racing Team meraih tempat ketiga dengan catatan masa 11’40:677s.
Sementara itu, Md Farish Iqmal Khayrul Elyas dari pasukan Honda KC Racing berjaya menjuarai kategori Wira KBS dengan catatan masa 9’29:988s.
Beliau yang telah memulakan perlumbaan di petak ketiga selepas sesi “Shoot-Out” pagi tadi telah menampilkan kepakarannya apabila beliau mencuri peluang untuk mengorak ke P1 di awal perlumbaan lagi.
“Pada permulaan perlumbaan, saya hanya mengekori Syamil dan pada turn kedua terakhir, saya membuka langkah untuk memintas dan berjaya. Selepas itu, saya hanya cuba mengekalkan kedudukan saya dan meningkatkan kelajuan untuk meninggalkan kelompok di belakang.”
“Akhirnya, saya berjaya di negeri kelahiran saya. Saya berterima kasih kepada pasukan saya, Honda KC Racing kerana telah membantu saya mencari penalaan enjin yang bagus untuk pusingan ini.”
Tempat kedua pula milik Md Adam Haikal Jahar dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing dengan catatan masa 9’31:547s manakala Md Farid Hakimi Farid Sezli dari pasukan Idemitsu Honda Yam Racing di kedudukan ketiga dengan catatan masa 9’31:822s.