Adakah FAM akan buat ‘post-mortem’ kegagalan skuad B-19 pada Kelayakan Piala Asia B-20?
Kekalahan di tangan Korea Selatan 6-2 ada Kelayakan Piala Asia B-20 telah menyaksikan pasukan kebangsaan B-19 tersingkir apabila hanya berjaya mengutip empat mata daripada tiga perlawanan.
Skuad kendalian Hassan Sazali bermula dengan langkah kiri apabila hanya sekadar seri 1-1 dengan Mongolia sebelum membenam Sri Lanka 3-0.
Kegagalan ini sekaligus menyaksikan skuad Harimau Muda gagal layak ke pusingan akhir Piala Asia B-20 di Uzbekistan pada tahun hadapan.
Persoalannya kini, adakah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membuat post-mortem bagi mengenal pasti punca kegagalan? Jika ya, bilakah laporan itu akan siap dan didedahkan kepada orang ramai?
Berdasarkan Roadmap F:30 FAM, sasaran untuk skuad B-23 layak ke Sukan Olimpik dan skuad B-19 layak ke FIFA B-20 sudah pun gagal.
Walaupun ramai yang meletak kesalahan kepada ketua jurulatih sepenuhnya apabila pasukan gagal capai sasaran, namun perkara ini perlu dilihat dari pelbagai sudut.
Untuk skuad B-19 ini sebenarnya ramai yang mempersoalkan persiapan anak buah Hassan Sazali yang dikatakan dibuat secara ‘ala kadar’ sedangkan mereka bakal berdepan misi yang besar iaitu untuk layak ke Piala Asia B-20.
Lebih menyedihkan apabila mereka hanya berkesempatan untuk melakukan satu perlawanan persahabatan sahaja, itu pun menentang pasukan Projek FAM-MSN.
Jadi wajarkah Hassan Sazali dipersalahkan? Atau FAM juga perlu bertanggungjawab atas kegagalan skuad B-19 negara.
Tidak dapat dinafikan sebelum ini sememangnya ada segelintir pihak yang mahu skuad B-19 dikendalikan oleh jurulatih lain, namun FAM tetap memberi kepercayaan kepada beliau selepas berjaya bawa skuad ini julang Piala AFF B-19.
Dalam pada itu, sehingga kini pihak FAM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai kegagalan skuad B-19 di Mongolia.
Adakah FAM akan membuat rombakan barisan kejurulatih seperti yang berlaku pada skuad B-23 sebelum ini yang mana penolong ketua jurulatih skuad senior iaitu E. Elavarasan telah dilantik sebagai ketua jurulatih skuad B-23 negara?
Kemungkinan besar akan berlaku perubahan untuk ‘kerusi panas’ tersebut kerana FAM mahu memastikan kesemua pemain kebangsaan dari semua peringkat menggunakan DNA yang sama seperti yang diterapkan oleh Kim Pan-gon.
Jika benar Hassan Sazali akan dilepaskan dari jawatan sebagai ketua jurulatih skuad B-19, ia akan memberi ruang kepadanya untuk fokus pada pasukan Projek FAM-MSN kendaliannya yang akan beraksi dalam saingan Liga Simpanan pada musim depan.
Dengan format Liga Simpanan dikhaskan kepada pemain bawah 23 tahun, ini mungkin menjadi peluang terbaik untuk melihat sesuatu yang positif daripada skuad FAM-MSN kerana ketika ini mereka berada di kedudukan tercorot dalam saingan Liga Perdana berikutan mereka terpaksa beraksi menentang pasukan yang mempunyai pemain import dan juga pemain berpengalaman.
Apa yang akan berlaku nanti? Sama-sama kita tunggu.