Peluang awal untuk Lim Teong Kim menyinar di Piala Malaysia, Perak FC ada peluang cerah layak

2,606

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin optimis tentang peluang pasukannya untuk layak ke Piala Malaysia tahun ini berdasarkan masalah semasa yang dihadapi oleh beberapa pasukan.

Sekiranya Perak FC layak pasukan yang berkemungkinan besar disingkirkan adalah Melaka United dan Sarawak United yang bergelut dengan masalah pembayaran gaji.


Meskipun kedua-dua pasukan sedang dalam proses menyelesaikan masalah tersebut, mereka dilihat akan menghadapi kesukaran untuk membayar segala tunggakan dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh pihak Malaysian Football League (MFL).

Sebuah lagi pasukan yang masih menyepi adalah pasukan UiTM FC yang dijangka akan menghadapi masalah berkaitan pelesenan kelab yang telah disyaratkan oleh MFL.

Selepas mengharungi kesemua perlawanan Liga Perdana, UiTM FC berada di tangga ketujuh dengan hanya berjaya mendapatkan enam kemenangan.

Pada masa yang sama, situasi ini memberi harapan besar kepada para penyokong Perak FC untuk melihat kemampuan ketua jurulatih baru mereka, Lim Teong Kim yang dilantik pada minggu lepas.

Hal ini memandangkan ketua jurulatih semasa, Yusri Che Lah telah mengucapkan selamat tinggal kepada para penyokong pada perlawanan terakhir menentang Kuching City FC baru-baru ini yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Piala Malaysia selaku sebuah kejohanan berprestij di Malaysia akan menjadi pentas terbaik buat LTK untuk menonjolkan kemampuannya selaku seorang jurulatih berpengalaman sebelum menghadapi saingan liga dengan format yang baru pada musim hadapan.

Beliau mempunyai pengalaman yang luas sebagai seorang jurulatih pembangunan berdasarkan pencapaian terdahulu beliau.  

Pengendali berusia 59 tahun tersebut setakat ini tidak mempunyai sebarang pencapaian bersama mana-mana pasukan utama namun, pengalamannya melatih skuad remaja Bayern Munich di Jerman mampu menghasilkan sesuatu untuk pasukan Perak FC.

Selain itu, LTK juga terkenal dengan sumbangan beliau terhadap pembangunan akar umbi negara sewaktu dilantik menjadi Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) pada tahun 2013 sehingga 2018.

Para penyokong skuad Seladang sudah semestinya berharap agar LTK dapat melakukan ‘magis’ bagi mengembalikan kegemilangan pasukan tersebut seperti yang pernah dicapai sebelum ini.

Tambahan pula, beliau telah menyatakan pelannya untuk menggunakan lebih ramai pemain tempatan pada musim hadapan dan tidak akan memaksimakan kuota sembilan pemain import.

Sama seperti skuad semasa pasukan Perak FC yang hanya dibarisi oleh tiga pemain import iaitu Stipe Plazibat, Sunday Afolabi dan Luciano Guaycochea.

Ketiga-tiga pemain ini telah dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua musim ini selepas pasukan diambil alih oleh pengurusan yang baru.

Senarai penuh pasukan yang akan bersaing di Piala Malaysia tahun ini akan diumumkan dalam masa terdekat.