Talian hayat lagi ke? Mari kita lihat apa ‘denda’ yang akan dikenakan oleh MFL kepada Melaka United

1,542

Sehingga ke hari ini, masih belum ada sebarang perkembangan terhadap isu tunggakan gaji yang dihadapi oleh pasukan Melaka United.

Pada 8 Ogos yang lalu, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) telah menerima laporan asmi daripada 17 pemain pasukan tersebut.


Berdasarkan laporan tersebut, Melaka United dilihat mempunyai tunggakan gaji bagi bulan Jun serta beberapa lagi baki bayaran awal musim iaitu Januari lalu.

Malaysian Football League (MFL) telah mengeluarkan notis amaran kepada pasukan ini untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu persatuan tersebut secepat mungkin atau bakal berhadapan dengan tindakan yang ‘berat’.

Buat masa ini, antara hukuman yang dikatakan adalah Melaka United tidak akan dibenarkan untuk menyertai saingan Piala Malaysia tahun ini dan akan dikenakan sekatan untuk membawa masuk pemain-pemain baru pada musim hadapan.

Ini adalah hukuman-hukuman yang sering dikenakan sebelum ini kepada pasukan Liga Malaysia yang turut berhadapan dengan masalah sama.

Diharap pihak MFL dapat mengenakan tindakan sewajar dan cukup berat kepada pasukan Melaka United yang seringkali berhadapan dengan isu ini pada setiap musim.

Lebih parah, Melaka United merupakan salah sebuah pasukan yang dilanda masalah tunggakan gaji dua kali pada musim ini.

Masalah gaji pertama yang berlaku pada awal musim dikatakan telah berjaya diselesaikan sebelum ini.

Permasalahan ini dilihat menjadi faktor utama yang menyebabkan pasukan ini gagal mempamerkan aksi menyakinkan sepanjang musim.

Selepas 18 perlawanan, mereka hanya berjaya mencatatkan empat kemenangan dan enam keputusan seri sahaja untuk hanya memperoleh 18 mata setakat ini.

Baki perlawanan menentang pasukan yang lebih cemerlang seperti Negeri Sembilan FC, Terengganu FC dan Selangor FC akan menyebabkan kesukaran kepada pasukan ini untuk memperbaiki kedudukan mereka di dalam saingan liga.

Tambahan pula, hanya tinggal seorang sahaja pemain import iaitu Ifedayo Olesegun yang bersedia untuk diturunkan.

Perkara ini dapat dilihat pada perlawanan terakhir menentang Kuala Lumpur City FC yang berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Hanya Ifedayo sahaja pemain import skuad Hang Tuah yang telah disenaraikan dan diturunkan pada perlawanan tersebut.

Ini kerana, pemain import yang lain seperti Emannuel Oti dan Justin Baas dikatakan telah ‘membatalkan kontrak’ mereka selepas isu ini gagal diselesaikan dengan baik oleh pihak pengurusan kelab.

Seorang lagi bintang Melaka United, Sony Norde juga difahamkan telah melakukan aduan rasmi kepada badan induk bola sepak dunia, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan perkara ini.