Kelantan FC bakal dapat wang kemenangan berjumlah RM175,000, MFL perlu selidik semula nilai hadiah
Pasukan Kelantan FC hampir pasti diangkat menjadi naib juara Liga Perdana musim ini selepas ketinggalan tiga mata dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC II.
Pencapaian ini bakal membolehkan mereka memperoleh wang kemenangan sebanyak RM175,000 sebagaimana yang dinyatakan oleh pemilik kelab, Norizam Tukiman menerusi posting beliau di akaun Facebook miliknya.
Pihak Malaysian Football League (MFL) selaku pengelola liga perlu mempertimbangkan semula jumlah wang kemenangan yang akan diberikan kepada pemenang-pemenang.
Ini kerana, jumlah tersebut dilihat sedikit tidak memadai tatkala kos yang dikeluarkan oleh setiap pasukan kini dalam memberikan saingan terbaik adalah jauh lebih tinggi seperti apa yang berlaku untuk pasukan Kelantan FC.
Tambahan pula, faktor penswastaan kelab juga perlu dititikberatkan oleh pihak MFL bagi membantu pasukan-pasukan yang telah berusaha dalam membangunkan sebuah pasukan yang kuat dan mampu bertahan untuk jangka masa yang panjang.
Bantuan dari segi wang kemenangan ini sudah semestinya bakal menjadi dana bantuan terbaik kepada pihak pengurusan kelab yang telah bertungkus lumus mengeluarkan modal sepanjang musim.
Dalam pada itu, tindakan Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham sewajarnya diberikan pujian selepas beliau dilihat telah mempunyai perancangan yang jelas terhadap penggunaan wang hadiah tersebut.
Menerusi posting beliau, sebahagian wang kemenangan tersebut bakal diberikan kepada para pemain dan staf pasukan.
Ini kerana, kedua-dua pihak ini telah berjaya menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun bakal terlepas gelaran juara di minit-minit akhir.
Kejayaan menjadi naib juara ini menjadi pencapaian yang cukup gemilang buat pasukan pantai timur ini selepas mereka berjaya melepasi sasaran yang diletakkan oleh Zamsaham jauh lebih awal.
Pihak pengurusan terutamanya Zamsaham pada mulanya meletakkan sasaran untuk layak ke Liga Super pada musim 2024.
Namun, Kelantan FC yang cemerlang pada musim ini berjaya melayakkan diri secara merit bersama sebuah lagi pasukan, Kuching City FC yang berada di kedudukan keempat liga.
Tidak dapat dinafikan, Zamsaham berjaya membantu pasukan ini untuk kembali berada di tahap terbaik selepas mengambil alih.
Perubahan yang tidak drastik ini semakin memperlihatkan hasil dan tidak mustahil untuk pasukan ini mempamerkan aksi cemerlang pada saingan Piala Malaysia musim ini sebelum menghadapi cabaran baru di Liga Super musim depan.
Dengan jumlah perlawanan yang semakin bertambah, Zamsaham perlu merencana strategi terbaik buat pasukannya untuk memberi saingan dan berada sekurang-kurangnya di tangga lima teratas.
Pemilihan ketua jurulatih baru juga akan memainkan peranan yang cukup besar selepas Rezal Zamberi Yahya difahamkan tidak akan menggalas tugas tersebut ekoran daripada masalah lesen beliau yang tidak melepasi syarat ditetapkan.
Para penyokong The Red Warriors sudah semestinya berasa gembira dengan keadaan semasa dan berharap agar momentum ini dapat diteruskan untuk sebuah jangka masa yang panjang.
Gomo Kelate Gomo!