Nik Nazmi tiada masalah orang politik sertai bola sepak asalkan ada ilmu, anggap tangga gaji di Malaysia tidak realistik

629

Penaung kelab bola sepak Setiawangsa Rangers, Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui pandangan serong oleh peminat bola sepak tempatan mengenai penglibatan ahli politik dalam bola sepak adalah disebabkan oleh sesetengah daripada mereka yang menjadikan bidang tersebut untuk mengejar populariti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, tiada masalah untuk seseorang ahli politik melibatkan diri dalam bola sepak selagi mana mereka mempunyai ilmu dan pengetahuan dalam bidang tersebut.


“Saya faham ramai antara mereka yang melihat penglibatan ahli politik ini hanyalah untuk mempopularkan diri, malah ada yang tak tahu pun tentang bola sepak.

Sekiranya ia dibuat oleh orang yang betul-betul tahu mengenai bola sepak dan dapat beri nilai tambah bagi saya tiada masalah, dan setakat ini inisiatif yang saya ambil untuk membantu kelab Setiawangsa Rangers tidak mendatangkan masalah besar kepada kelab ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, beliau juga menganggap bahawa banyak kelab di negara ini tidak mempunyai model perniagaan yang lestari serta berbelanja lebih besar daripada keuntungan mereka.

Menurutnya, disebabkan industri bola sepak Malaysia yang mahal dan tangga gaji yang tidak realistik, beliau lebih berminat untuk melibatkan diri dalam pembangunan bola sepak akar umbi dan komuniti.

“Dulu saya sendiri pernah berminat untuk masuk sehingga ke peringkat FA (Football Association) negeri, tetapi melihat cabaran itu, saya lebih berminat untuk melibatkan diri di peringkat komnuniti dan pembangunan.

Saya lihat pasaran di Malaysia itu memang ada tetapi kalau nak bayar gaji RM50,000 atau RM100,000 itu sangat tidak realisitik sekiranya dibandingkan dengan Liga Thailand dan divisyen dua Jepun yang mungkin setara dengan kita, mereka pun tidak bayar gaji setinggi itu.”

Katanya, sekiranya satu hari nanti pembayaran gaji dan kos bagi kelab bola sepak di Malaysia seiring dengan pasaran yang ada, beliau bercita-cita untuk pergi lebih jauh bersama kelab Setiawangsa Rangers.

Menurutnya, beliau menjadikan kelab bola sepak komuniti di Eropah yang mampu menarik sokongan penduduk setempat walaupun bermain di liga bawahan sebagai inspirasi.

Nik Nazmi berkata, beliau berbangga dengan pencapaian Setiawangsa Rangers walaupun dapat meyakinkan komuniti Setiawangsa sama ada pihak korporat mahupun penduduk setempat walaupun baru ditubuhkan pada 2018.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen