Wong Choong Hann perlu lebih ‘teratur’ sebagai Pengarah Kejurulatihan, banyak lakukan keputusan mengelirukan
Tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melepaskan lebih kurang 65 orang pemain untuk menyertai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini menimbulkan tanda tanya daripada ramai pihak.
Tambahan pula, antara pemain yang dilepaskan adalah perseorangan utama, Ng Tze Yong yang baru meraih pingat perak di temasya Sukan Komanwel tahun ini.
Selain Tze Yong, antara pemain utama BAM yang turut dilepaskan adalah Aidil Sholeh, Jacky Kok dan pasangan beregu Wan Arif/Haikal Nazri untuk mewakili negeri masing-masing.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choong Hann turut mempertahankan keputusan membenarkan pemain-pemain persatuan tersebut beraksi di SUKMA.
Choong Hann menganggap perkara ini tidak akan mengganggu pemain tatkala Sukan Asia yang sepatutnya berlangsung di Hangzhou terpaksa ditunda akibat pandemik yang tidak terkawal.
Beliau juga membuat perbandingan dengan pendekatan yang diambil oleh negara China dalam membenarkan para pemain mereka beraksi di kejohanan tempatan untuk mewakili wilayah.
Namun, adalah lebih baik untuk para pemain ini menyiapkan diri untuk berhadapan dengan kejohanan yang lebih besar di luar negara yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Kepenatan dari tempoh saingan di temasya SUKMA sudah semestinya akan menyebabkan para pemain berhadapan kesukaran untuk memberikan yang terbaik.
Mereka juga akan berhadapan dengan risiko kecederaan sewaktu mewakili negeri ekoran daripada jadual kejohanan yang padat.
Perkara ini turut mendapat perhatian bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj yang menganggap penyertaan pemain-pemain ini tidak mempunyai sebarang kepentingan dan mengelirukan.
Ini kerana, ia akan menutup harapan buat pemain-pemain yang ingin mendapatkan peluang melakukan kejutan di pentas berprestij seperti SUKMA.
Setakat ini, sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Choong Hann dilihat tidak menyakinkan dan boleh dibidas.
Baru-baru ini, beliau telah mengambil keputusan untuk mengeluarkan Tze Yong daripada kejohanan Terbuka Denmark dan mendaftarkan pemain tersebut dalam dua kejohanan di Indonesia iaitu Cabaran Antarabangsa Indonesia dan Masters Indonesia pada pertengahan Oktober ini.
Meskipun berpeluang cerah sebagai antara pilihan utama kedua-dua kejohanan ini, tindakan ini dilihat sebagai kurang sesuai kerana status Terbuka Denmark yang lebih tinggi berbanding dua kejohanan tersebut.
Peluang beraksi di Terbuka Denmark akan membolehkan Tze Yong untuk mendapatkan pengalaman yang lebih hebat dalam bersaing dengan pemain-pemain handalan dunia seperti Viktor Axelsen.
Setakat ini, Tze Yong dilihat tidak akan berhadapan dengan sebarang masalah selepas ketiadaan pemain bintang dalam dua kejohanan di Indonesia tersebut.
Choong Hann perlu memastikan anak buahnya tersebut dapat membuktikan sesuatu untuk menutup rapat mulut pengkritik terhadap keputusan yang telah diambil oleh beliau.
Tze Yong akan memulakan saingan di SUKMA pada esok hari (20 September) bagi mewakili negeri kelahirannya, Johor.