Ini adalah peluang terbaik saya untuk buktikan kemampuan kepada Kim Pan-gon – Mukhairi Ajmal

485

Pemain tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal teruja apabila akhirnya mendapat peluang untuk beraksi di bawah kendalian ketua jurulatih Kim Pan-gon bagi menghadapi kejohanan King’s Cup Thailand yang akan berlangsung dari 22 hingga 25 September ini.

Menurut Mukhairi, ini adalah masa yang terbaik buat dirinya untuk membuktikan kemampuan dirinya kepada pengendali dari Korea Selatan itu supaya dapat kekal bersama skuad Harimau Malaya.


“Alhamdulillah saya dapat bersama skuad kebangsaan kali ini dan inilah peluang terbaik untuk saya tunjukkan kemampuan diri saya. Saya gembira kerana bukan senang untuk dapat bermain di bawah jurulatih baru dan peluang ini saya tidak akan sia-siakan,”

katanya.

Terdahulu, Mukhairi yang merupakan ketua pasukan skuad B-23 yang ketika itu dibawah kendalian Brad Maloney telah beraksi dalam kejohanan Piala AFF B-23, Sukan SEA Hanoi dan Piala Asia B-23.

Dalam pada itu, pemain berusia 20 tahun itu berkata pemilihan tiga kapten pasukan iaitu Dion Cools, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad adalah keputusan yang tepat oleh Pan-gon.

“Bagi saya Syafiq Ahmad sudah lama bermain bersama pemain kebangsaan dan Safawi juga sama, manakala Dion Cools pula kita tahu beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas di Eropah dan ini akan membantu kami pemain muda tingkatkan prestasi.”

Sementara itu, Mukhairi turut berkata setiap pemain sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan King’s Cup Thailand kerana mereka sudah serasi dan memahami taktikal dan percaturan yang dilakukan oleh Pan-gon.

Pada perlawanan pembukaan, Malaysia akan menentang tuan rumah Thailand pada 22 September ini yang mana jika menang mereka akan layak ke perlawanan akhir menentang samada pasukan Tajikistan atau pun Trinidad And Tabago.

Kejohanan yang berlangsung di Chiang Mai, Thailand ini akan dari 22 hingga 25 September ini.