Farouk Hashim ada impian besar untuk Kopa Academy, idam hantar pemain ke luar negara

426

Pengurus Besar Kopa Arena, Farouk Hashim terus memasang impian yang lebih tinggi buat akademi pembangunan milik mereka, Kopa Academy yang bertapak di Kopa Arena USM.

Akademi bola sepak tersebut memberi fokus kepada pemain seawal usia empat tahun sehingga 12 tahun dan bercadang untuk mengembangkan lagi peringkat umur kepada 13 tahun ke atas.


“Kopa Academy sudah mula menapak di Pulau Pinang pada bulan Disember tahun lepas, jika ada rezeki kami mahu membuka lebih banyak akademi di sekitar Pulau Pinang terutamanya kawasan Balik Pulau yang dikatakan mempunyai ramai pemain berbakat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kopa Academy juga semakin rancak menyokong usaha pembangunan akar umbi bola sepak negara melalui perancangan jangka masa panjang yang telah dilakukan oleh mereka dalam memastikan kesinambungan karier pemain yang terhasil daripada akademi ini.

Selain menyediakan latihan, akademi ini juga berusaha sebaik mungkin untuk membuka peluang kepada para pemain mengembangkan potensi yang dimiliki mereka untuk melangkah dengan lebih jauh di usia muda.

“Matlamat untuk akademi kita ada dua, kita cuba hubungkan dengan kelab-kelab luar negara terutamanya Eropah melalui kenalan yang kita ada.

Untuk peringkat awal, mungkin pemain ini boleh bermain di peringkat negeri atau ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan Liga Super.”

Kopa Academy yang berpengakalan di Pulau Pinang menghadapi sedikit permasalahan dari segi kekurangan kejohanan di peringkat akar umbi.

Perkara ini menyukarkan mereka untuk memberikan lebih pendedahan permainan kepada pemain seperti yang dimiliki oleh kebanyakan akademi di Selangor, Kuala Lumpur dan sebagainya.

“Pulau Pinang sebenarnya mempunyai banyak akademi pembangunan, cumanya bilangan kejohanan-kejohanan masih rendah.

Kelebihan untuk kawasan Lembah Klang, mereka mempunyai banyak penganjur yang sanggup mengadakan kejohanan untuk pendedahan kepada pemain muda.”

Walaubagaimanapun, mereka tetap berjaya menghasilkan sejumlah pemain berkualiti hasil didikan jurulatih-jurulatih yang memiliki pengalaman sebagai bekas pemain Liga Perdana seperti Faizal Nasir.

“Dari segi kemajuan, kita sudah nampak peningkatan walaupun kita baru bermula tahun lalu.

Setiap kali kejohanan, kita telah cuba hubungi wakil-wakil dari AMD untuk melihat potensi pemain-pemain.”

Bersempena sambutan Hari Malaysia tahun ini, Kopa Arena telah mengadakan sebuah kejohanan bola sepak 7 sebelah yang mempertandingkan tiga kategori iaitu Terbuka Lelaki dan Wanita serta Lelaki B-16.

Pertandingan ini dilihat antara inisiatif yang sangat bagus bagi membantu menyokong usaha pembangunan bola sepak di Pulau Pinang yang kurang mendapat perhatian.

“Idea penganjuran pertandingan di sebelah utara ini datang dari pengalaman menganjurkan kejohanan-kejohanan sebelum ini di Lembah Klang.

Kita rasa banyak bakat-bakat di sini cuma tiada platform yang sesuai untuk mereka kembangkan bakat.”

Tambahan pula, penganjuran kategori wanita juga sedikit sebanyak menggalakkan lagi penglibatan golongan wanita di dalam sukan bola sepak yang dilihat semakin bertambah ketika ini.

“Penganjuran ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pasukan-pasukan wanita yang kekurangan kejohanan.”

Selain kejohanan ini, Kopa Arena turut menganjurkan beberapa liga sebelum ini seperti Kovra Football League 2021 dan Penang Amateur League 2022.