Isyrafrial Azizly harap lebih banyak kejohanan di peringkat akar umbi, buka peluang mematangkan pemain muda

239

Ketua jurulatih Kopa Academy, Isyafrial Azizly berharap akan ada lebih banyak pihak yang sudi menganjurkan kejohanan-kejohanan di peringkat akar umbi selepas ini.

Perkara ini dilihat sebagai salah satu inisiatif yang baik dalam usaha membangunkan potensi pemain muda untuk masa depan bola sepak yang lebih cerah.


“Saya harap di Malaysia akan ada lebih banyak lagi kejohanan di peringkat akar umbi.

Kerana dari sinilah bermulanya era 20 tahun yang akan datang, kalau tidak sekarang, bila lagi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahan pula, pembangunan pemain muda kini semakin mendapat perhatian yang meluas di dalam negara dengan wujudnya program seperti Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Peningkatan ini memberi petanda yang cukup positif dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai antara kuasa besar bola sepak di Asia Tenggara.

“Kita sudah memiliki banyak program pembangunan bola sepak di negara, sudah wujud ratusan akademi di Malaysia.

Ini adalah perkembangan yang sangat baik untuk pembangunan bola sepak di peringkat umur bawah 12 tahun ini.”

Kopa Academy merupakan salah satu usaha yang dijalankan oleh Kopa Arena dalam menyediakan platform latihan kepada kanak-kanak sekitar Pulau Pinang yang mempunyai minat dalam sukan bola sepak.

Meskipun baru mula menapak, kehadiran mereka semakin disedari dan turut mendapat sokongan yang memberangsangkan.

“Kami bermula dengan 20 pemain sewaktu memulakan latihan pada Januari dan bilangan tersebut terus bertambah.

Buat masa ini, kami sudah memiliki hampir 90 pemain dari serata Pulau Pinang.”

Ketika ini, Kopa Academy yang bertapak di Kopa Arena USM mempunyai tiga kategori iaitu 4-8 tahun, 9-10 tahun dan 11-12 tahun.

Latihan serta pendedahan yang diberikan oleh barisan kejurulatihan akan memfokuskan kepada pembentukan pemain yang siap sedia dalam menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang sebagai seorang pemain bola sepak.

“Dari sini mereka akan mula belajar mengenali apa sebenarnya bola sepak, dari segi suasana dan pengurusan bola sepak.

Mereka akan belajar segala aspek tentang bola sepak yang akan mematangkan mereka di masa hadapan.”

Pada masa yang sama, Isyafrial yang merupakan seorang bekas pemain PKNS FC dan Penang FA berharap agar peminat dapat memberi peluang kepada jurulatih-jurulatih tempatan.

Ini kerana, Malaysia memiliki sebilangan besar jurulatih yang memiliki keupayaan dalam mengemudi pasukan namun tidak memiliki peluang sebaiknya untuk mereka tonjolkan kelebihan tersebut.

“Kadang-kadang kita jangan memandang tinggi kepada keupayaan jurulatih luar, beri peluang untuk jurulatih tempatan buktikan kemampuan dan kreativiti mereka dalam melatih pasukan.

Jurulatih tempatan sedia ada tidak kurang hebat tetapi memerlukan tempoh masa yang mencukupi untuk mereka buktikan sesuatu.”