JDT mungkin angkat trofi Liga Super di Darul Aman

2,927

Walaupun saingan Liga Super masih berbaki empat perlawanan, namun peminat mungkin tidak perlu menunggu sehingga hujung musim untuk mengetahui juara pada musim ini sebaliknya juara Liga Super untuk musim 2022 mungkin akan diketahui seawal 4 Oktober ini.

Semua sudah sedia maklum juara lapan kali, pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh dikatakan hampir pasti akan menjulang trofi itu apabila hanya memerlukan enam mata sahaja daripada baki lima perlawanan terakhir.


JDT sebenarnya boleh dinobat sebagai juara Liga Super di laman sendiri apabila menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 1 Oktober ini, namun tidak dapat berbuat demikian selepas mereka hanya seri 2-2 ketika menentang PJ City FC.

Bagaimanapun itu tidak menjadi masalah kerana jika mereka berjaya membenam saingan Negeri Sembilan di SSI nanti, JDT berkemungkinan besar akan dinobat sebagai juara Liga Super di Stadium Darul Aman apabila mereka akan menentang Kedah Darul Aman FC pada 4 Oktober depan.

Jika mereka berjaya membenam KDA FC di laman sendiri dan dinobat sebagai juara, ia pasti akan menjadi lebih manis lagi buat peminat Harimau Selatan itu kerana semua sedia maklum dengan perseteruan ‘manja’ antara kedua-dua kelab itu baik dari penyokong ke pengurusan tertinggi membabitkan Presiden KFA, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris.

Walaupun sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mencetuskan kontroversi, namun ia sekadar ‘hiburan’ untuk bola sepak sahaja kerana baru-baru ini Sanusi dilihat beramah mesra dengan penyokong SUKMA Johor di Putrajaya.

Berbalik kepada JDT dinobat sebagai juara di Darul Aman. Perkara itu hanya akan berlaku sekiranya skuad kendalian Hector Bidoglio berjaya menumpaskan Negeri Sembilan dan KDA FC.

Seperti semua tahu, dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku, oleh itu sama-sama kita tunggu dan lihat nanti.

Ramai yang tidak sabar untuk baki beberapa perlawanan akhir Liga Super kerana kebanyakan pasukan kini berada pada prestasi terbaik sekaligus mempamerkan aksi yang cukup menarik buat peminat bola sepak tempatan.

Semua sudah tahu siapa bakal juara, tetapi saingan untuk kedudukan naib johan dan ketiga menjadi sangat sengit kerana beberapa pasukan sedang berlumba untuk menamatkan saingan pada kedudukan Top 3 untuk mendapat tiket ke saingan Piala AFC pada musim depan.