Penerbangan Harimau Malaya ke Chiang Mai ditanggung sendiri oleh FAM, alternatif untuk singkatkan tempoh perjalanan
Pasukan bola sepak negara telah berangkat ke Chiang Mai, Thailand pada 19 September untuk menghadapi saingan King’s Cup 2022 yang akan berlangsung pada 22 hingga 25 September ini.
Kemunculan pasukan Harimau Malaya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) semalam menimbulkan pelbagai tanda tanya dari ramai pihak yang mempersoalkan tentang isu penajaan penerbangan.
Ini kerana skuad negara telah dilihat menaiki penerbangan Air Asia untuk ke Thailand dan perkara tersebut sedikit membingungkan kerana syarikat tersebut bukanlah penaja rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sebelum ini, FAM telah mengikat kontrak bersama syarikat penerbangan, Malaysia Airlines (MAS) selaku Rakan Penerbangan Rasmi FAM.
Ada segelintir peminat yang menyifatkan situasi ini terjadi kerana ada golongan yang melakukan tindakan tidak beretika dalam mendapatkan ‘duit tepi’.
Namun, kesemua spekulasi ini adalah tidak berasas kerana tujuan sebenar pemilihan Air Asia adalah untuk mencari inisiatif perjalanan yang lebih singkat bagi mengelakkan pemain-pemain kepenatan akibat daripada perjalanan panjang.
Perkara ini telah disahkan sendiri oleh sebuah sumber dalaman kepada Harimau Malaya.
Ini kerana, penerbangan MAS dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan terus menuju ke Bangkok dan memaksa para pemain dan staf untuk menaiki pesawat lain untuk menuju ke lokasi pertandingan di Chiang Mai.
Kuala Lumpur ke Bangkok memerlukan lebih kurang dua jam 15 minit, manakala dari Bangkok ke Chiang Mai memakan masa satu jam sepuluh minit.
Ini akan menyebabkan para pemain menghabiskan masa hampir empat jam sekiranya mereka kekal menaiki penerbangan MAS.
Tambahan pula, penerbangan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh pihak FAM dan tidak ada sebarang tajaan daripada mana-mana syarikat terutamanya pihak Air Asia seperti yang dicanang sebelum ini.
Tuduhan-tuduhan seperti ini dilihat tidak wajar sama sekali tatkala kita mengharapkan yang terbaik untuk para pemain menjelang aksi pertama menentang tuan rumah, Thailand pada 22 September ini.
Tanggungjawab yang diambil oleh FAM ini perlu diberikan pujian bagi memastikan kesemua pemain berada di dalam tahap terbaik sepanjang berada di Thailand.
Ini bagi mengelakkan nasib buruk yang menimpa wakil tunggal negara di dalam saingan Piala AFC tahun ini, Kuala Lumpur City FC yang terpaksa menempuhi tempoh penerbangan panjang sewaktu menuju ke India.
Perjalanan yang memakan masa hampir 16 jam tersebut telah memberi kesan kepada tahap kecergasan para pemain walaupun KL City akhirnya berjaya juga untuk membenam ATK Mohun Bagan di tempat lawan.