Tunku Panglima Johor ‘talent’ luar biasa di sukan permotoran

422

Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim terus menampilkan aksi cemerlang di dalam saingan GT Australia selepas menamatkan perlumbaan pusingan ketiga dengan kedudukan yang agak baik.

Kejayaan ini membolehkan Tunku bersama rakan sepasukannya, Shane van Gisbergen untuk mengumpul 105 mata keseluruhan untuk berada di tangga ketiga ketika ini.


Tunku bersama rakan sepasukannya berjaya mengemudi jentera Mercedes-AMG GT3 untuk menamatkan perlumbaan tersebut di kedudukan kedua.

Perkara ini juga menunjukkan sebuah contoh yang sangat baik kerana ia mempamerkan penglibatan aktif seorang kerabat diraja di dalam sukan ini.

Keluarga diraja Johor cukup terkenal dengan penglibatan mereka di dalam sukan permotoran.

Terdahulu, Almarhum Sultan Iskandar juga terlibat aktif di dalam sukan ini dan berjaya memenangi saingan GP Johor pada tahun 1960.

Jejak langkah ini turut diwarisi oleh Tunku yang telah berjaya melakukan debut pada tahun 2019 bersama Johor Motorsports Racing bersama pelumba terkenal negara, Jazeman Jaafar.

Mereka telah sama-sama bersaing dalam kejohanan Blancpain GT World Challenge Asia Series pada tahun tersebut.

Selain sukan permotoran, kerabat diraja Johor juga aktif dalam sukan lain seperti polo dan golf.

Meskipun kejohanan GT Australia tidak popular di kalangan peminat sukan permotoran di Malaysia, ia sebenarnya memiliki reputasi tersendiri sebagai salah sebuah perlumbaan terbesar di negara tersebut.

Tambahan pula, ramai legenda-legenda sukan permotoran dunia telah berjaya dihasilkan menerusi kejohanan ini.

Salah seorang daripadanya adalah bekas juara dunia F1, Alan Jones yang memenangi kejohanan ini pada tahun 1982.

Tidak mustahil sekiranya suatu hari nanti untuk kita melihat kelibat Tunku untuk beraksi di peringkat yang jauh lebih tinggi seperti F1 dan kejohanan FIA GT.

Sudah semestinya kita memerlukan individu seperti Tunku untuk terus mempromosikan sukan ini yang kurang mendapat perhatian di dalam negara.

Sukan permotoran kurang diminati di Malaysia berbanding sukan-sukan yang lain seperti bola sepak dan badminton meskipun kita memiliki Litar Antarabangsa Sepang yang bertaraf dunia.

Perlumbaan GT Australia seterusnya akan berlangsung di Litar The Bend Motorsport Park, Australia Selatan bermula pada 14 Oktober sehingga 16 Oktober.

Kecemerlangan yang berjaya dipamerkan oleh Tunku dan rakan akan terus ditagih bagi membolehkan mereka terus mengejar pendahulu kejuaraan dari Australia, Yasser Shahin yang selesa mengumpul 129 mata keseluruhan.