Samassa gembira kehadiran Lee Tuck dan Aguero, jadikan Sri Pahang pasukan pilihan di Piala Malaysia
Pasukan Sri Pahang FC bakal mendapatkan tenaga tambahan pada saingan Piala Malaysia tahun ini selepas proses naturalisasi dua pemain, Lee Tuck dan Sergio Aguero akhirnya diluluskan.
Penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa melihat kemasukan dua orang pemain ini akan mampu memperkuatkan barisan serangan pasukan Sri Pahang untuk menjadi antara pesaing terkuat sewaktu di kejohanan tersebut kelak.
“Kami gembira dengan kehadiran kedua-dua pemain naturalisasi ini, mereka berdua bekerja dengan sangat baik semasa latihan.
Kemasukan mereka di Piala Malaysia nanti menggembirakan kami,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kedua-dua pemain ini berjaya melengkapkan dokumen mereka meskipun proses menyelesaikan urusan naturalisasi mereka memakan masa yang cukup lama.
Mereka tidak dapat diturunkan dalam saingan liga musim ini ekoran daripada isu dokumentasi yang berpanjangan.
Dalam pada itu, Samassa cukup gembira dengan keadaan semasa bersama pasukannya yang semakin bertambah baik perlawanan demi perlawanan.
Tambahan pula, kemasukan dua legenda Pahang, Dato’ Dollah Salleh dan Fandi Ahmad di pertengahan saingan bagi memperkuatkan barisan kejurulatihan pasukan tersebut telah berjaya memberi impak yang cukup besar kepada keadaan semasa.
“Saya rasa kemasukan Dollah Salleh dan Fandi Ahmad adalah sangat baik kerana mereka pernah bermain di dalam liga ini.
Ia adalah sebuah perkara yang sangat baik buat pasukan kami,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dolllah telah dilantik sebagai ketua jurulatih yang baru bagi menggantikan Christophe Gamel yang telah dilepaskan oleh pengurusan kelab rentetan kekalahan yang dialami oleh pasukan pada awal musim.
Manakala, Fandi bertindak sebagai Penasihat Teknikal buat pasukan ini dan berjaya membina gandingan yang baik bersama Dollah dalam mencari resepi kemenangan buat pasukan ini yang bermula sedikit hambar.
“Gamel adalah seorang jurulatih dan beliau yang bertanggungjawab membawa saya ke Malaysia tetapi saya berasa gandingan Dollah Salleh dan Fandi Ahmad mengenali liga ini dengan lebih baik.
Pengalaman mereka ini memberi kelebihan yang besar kepada pasukan.”
Perubahan ini dapat dilihat menerusi peningkatan yang ditunjukkan oleh pasukan ini pada beberapa perlawanan sebelum ini.
Mereka berjaya memperbaiki kedudukan untuk berada di tangga ketujuh liga buat masa ini dengan enam kemenangan daripada 18 perlawanan keseluruhan.
Selepas mengambil alih pasukan, duo legenda ini berjaya mencipta strategi untuk skuad Tok Gajah mendapatkan tiga kemenangan berturut-turut ke atas pasukan Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Petaling Jaya (PJ) City FC.
“Selepas kemasukan kedua-dua individu ini, kami berjaya mencatatkan kemenangan dan tiga atau empat perlawanan dengan keputusan 2-0.
Saya rasa ia adalah sesuatu yang bagus kerana kami dapat memperbaiki kedudukan di dalam liga.”
Sri Pahang selepas ini akan bertemu pasukan Sarawak United untuk perlawawan ke-19 pada 1 Oktober ini.