Samassa terkejut dengan kualiti pemain Malaysia, nafi spekulasi perpindahannya kembali ke Eropah
Penjaga gol tinggi lampai Sri Pahang FC, Mamadou Samassa mengakui perasaan kagum beliau melihat kepada kemampuan pemain-pemain tempatan di Malaysia untuk bersaing.
Beliau juga percaya dengan kebolehan yang ada, beberapa orang pemain Malaysia akan mampu melangkah dengan lebih jauh ke luar negara.
“Saya agak terkejut dengan kebolehan pemain-pemain di sini, mereka mampu bersaing dengan mudah di Eropah.
Banyak pasukan di sini yang memilki pemain-pemain berkualiti,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pemain berusia 32 tahun tersebut sebelum ini pernah beraksi di beberapa buah kelab di Eropah seperti APO Levadiakos di Greece serta Troyes di Perancis.
Dalam pada itu, Samassa turut menafikan sekerasnya terhadap khabar angin perpindahannya untuk kembali beraksi di Eropah.
Beliau menghormati kontraknya bersama pasukan Sri Pahang yang bakal berakhir pada penghujung musim ini.
“Saya tidak mengetahui siapa yang membuat spekulasi palsu tentang perpindahan ini kerana saya masih memiliki kontrak di Malaysia.
Saya akan kekal di sini kerana saya menyukai negara ini dengan adanya liga yang berkualiti dan keadaan sekeliling yang selesa.”
Tambahan pula, Liga Super masih berjalan dan mereka masih perlu menghadapi beberapa perlawanan sukar selepas ini.
Cabaran utama pasukan Sri Pahang adalah ketika bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC pada 7 Oktober sebelum melayani dua lagi kunjungan pasukan dari kelompok tiga teratas liga, Sabah FC dan Negeri Sembilan.
Ketangkasan penjaga gol ini akan terus ditagih oleh ketua jurulatih, Dato’ Dollah Salleh sebagai benteng terakhir pasukan Tok Gajah.
“Saya masih memiliki kontrak bersama Sri Pahang, jadi saya akan terus memberikan fokus kepada pasukan ini tambahan pula saingan liga belum berakhir.
Keutamaan saya buat masa ini adalah untuk kekal di Malaysia.”
Samassa telah membuat 17 penampilan di dalam saingan Liga Super dan telah berjaya mengumpul tiga clean sheets sepanjang diturunkan.