Bola sepak pantai Malaysia berpotensi pergi lebih jauh tapi perlukan liga yang berkualiti

362

Ketua jurulatih skuad bola sepak pantai kebangsaan, Wan Adremy Indera Wan Adnan mengakui Malaysia mempunyai potensi yang cukup besar dalam sukan bola sepak pantai, namun saingan liga bola sepak pantai masih lagi samar-samar buat masa ini.

Wan Adremy berkata adalah penting untuk mempunyai liga bola sepak pantai negara supaya Malaysia tidak ketandusan bakat baru dan memberi lebih pilihan kepada jurulatih untuk memilih pemain terbaik untuk menyarung jersi Harimau Malaya.


Salah satu inisiatif yang boleh dilakukan adalah dengan mewujudkan Liga Bola Sepak Pantai IPT (Institut Pengajian Tinggi).

“Bola sepak pantai kitab oleh pergi jauh cuma liga kita masih samar-samar buat masa ini. Mungkin IPT boleh membantu dengan mewujudkan satu Liga Bola Sepak Pantai IPT. Saya ada bercakap dengan Pengarah Sukan UiTM mengenai perkara ini.

Beliau telah memberikan satu idea untuk menaikkan bola sepak pantai dengan mewujudkan Liga IPT yang mana ia akan membolehkan kita (jurulatih) mempunyai pool players yang banyak untuk dipilih,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Walaupun kurang mendapat perhatian, namun skuad bola sepak pantai negara merupakan antara pasukan besar di Asia.

Skuad negara kini sedang menjalani latihan pusat di UiTM Shah Alam bagi mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFF 2022 yang akan berlangsung di Chonburi, Thailand dari 26 September hingga 1 Oktober ini.

Dalam pada itu, Wan Adremy turut menyuarakan keyakinannya terhadap skuad negara dan meletakkan sasaran untuk menjuarai Kejohanan Bola Sepak Pantai AFF pada tahun ini.

Beliau berkata demikian kerana mahu mengekalkan reputasi mereka sebagai pasukan pilihan berikutan tahun lalu Wan Adremy yang mengendalikan kelab Markless Komii dari Terengganu berjaya julang trofi AFF kelab bola sepak pantai.

Tambahan pula, pemain yang dipilih untuk menyarung jersi Harimau Malaya untuk kejohanan ini sudah lama beraksi bersama, oleh itu tiada masalah untuk mendapatkan keserasian kerana kesemua pemain sudah lama serasi.

Kini semuanya terletak di tangan ketua jurulatih untuk membuat percaturan dan pemilihan pemain untuk memastikan pemain yang diturunkan mampu mendapatkan kemenangan.