JDT ‘control’ bola? Selangor yang ‘control’ bola la – TMJ

2,373

Semalam telah berlangsungnya sesi soal jawab antara pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris bersama peminat bagi menjawab segala persoalan dan memberikan penjelasan dan perkembangan terbaru kelab itu.

Pelbagai soalan diajukan, namun antara yang menarik perhatian adalah kenyataan TMJ yang menafikan bahawa JDT mengawal Liga Malaysia, sebaliknya berkata Selangor yang mengawal berikutan tiga pemimpin tertinggi badan induk bola sepak negara adalah individu dari Selangor.


“Awak tengok Presiden FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), Pengerusi Jawatankuasa Pengadil orang Selangor dan CEO MFL (Malaysian Football League) juga orang Selangor. Awak nak cakap JDT control bola? Selangor yang control bola la,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ketiga-tiga nama yang disebut oleh TMJ adalah Datuk Haji Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM), Dato’ Sivasundaram (Timb. Presiden FAM & Pengerusi Jawatankuasa Pengadil) dan Stuart Ramalingam (CEO MFL).

Pada masa sama TMJ turut mengulas mengenai kualiti pengadilan perlawanan Liga Super membabitkan JDT menentang Selangor FC baru-baru ini yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

“Bagi saya pada masa itu (perlawanan Selangor vs JDT), pengadil sangat teruk kerana Selangor melakukan 33 foul tetapi hanya diberikan empat kad kuning. Manakala JDT pula hanya lakukan 12 kesalahan foul tapi dikenakan tiga kad kuning.

Satu lagi bola terkena tangan Brendan Gan dalam kotak penalti tidak diberikan penalti, jadi nak cakap pengadil menyebelahi kita?”

Dalam sesi soal jawab yang berlangsung lebih sejam itu turut menyaksikan TMJ menjelaskan mengenai pelepasan ketua jurulatih Benjamin Mora ketika skuad berada pada tahap terbaik apabila layak ke pusingan 16 AFC Champions League (ACL).

Menurut baginda, pihak JDT bersetuju untuk melepaskan Mora selepas pengendali daripada Mexico itu sendiri yang minta dilepaskan kerana mahu mencari cabaran baru dalam kariernya sebagai jurulatih.

Pelbagai isu dan persoalan yang dijawab serta dijelaskan termasuk mengenai khabar angin JDT ingin membawa masuk bintang Jerman, Mesut Ozil pada musim hadapan.

Bagi anda yang terlepas sesi soal jawab TMJ bersama peminat, boleh tonton video di bawah ini.