Nazri Sulaiman gembira dengan penerimaan semasa terhadap bola sepak pantai, tekad kekalkan kejuaraan di Thailand

218

Penjaga gol pasukan bola sepak pantai negara, Nazri Sulaiman nyata gembira dengan keadaan semasa sukan bola sepak pantai yang semakin mendapat perhatian.

Sebelum ini, bola sepak pantai kurang diberikan fokus berbanding sukan-sukan lain seperti bola sepak dan futsal.


“Buat masa ini, memang sudah nampak peningkatan terhadap bola sepak pantai berdasarkan penganjuran sirkit di Morib.

Saya harap lepas ini akan ada lebih banyak kejohanan-kejohanan seperti itu diadakan di negara kita,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, penjaga gol berusia 37 tahun tersebut turut berbesar hati dengan peluang yang diberikan kepadanya oleh ketua jurulatih, Wan Adremy Indera untuk sekali lagi mewakili negara di kejohanan berprestij ini.

Nazri merupakan salah seorang pemain yang telah berjaya membantu pasukan negara merangkul kejuaraan pada penyertaan terakhir tahun lalu.

“Saya rasa terharu dan teruja kerana dipanggil kembali mewakili Malaysia, mungkin ini adalah tahun terakhir saya kerana faktor usia.

Persiapan setakat ini baik dan kami berharap dapat mengekalkan kejuaraan sebelum ini.”

Namun, Nazri enggan mendabik dada terlebih dahulu meskipun bakal dianggap antara pasukan kegemaran tatkala mereka bakal berdepan dengan pasukan yang baik seperti Thailand dan Indonesia.

Mereka perlu memastikan agar momentum dan pencapaian sebelum ini dapat diteruskan bagi membolehkan pasukan negara memberi saingan pada kejuaraan ini yang akan bermula pada 26 September kelak.

“Pergi sebagai pasukan pilihan sememangnya memberi sedikit tekanan, tetapi saya berharap saya dan pasukan akan sesuaikan diri dengan perkara tersebut untuk mencapai kejayaan.”

Walaupun hanya sempat melakukan persiapan dalam tempoh yang agak singkat, Nazri percaya kemampuan beliau dan rakan sepasukan dalam membiasakan diri dengan sebarang perubahan yang bakal dilakukan oleh barisan kejurulatihan.

Para jurulatih perlu menggunakan tempoh berbaki ini untuk merencana strategi terbaik yang boleh digunapakai oleh pasukan ini selaras dengan perubahan yang berlaku dalam arena bola sepak pantai buat masa ini.

“Mungkin akan berlaku sedikit perubahan dari segi taktikal kerana kita tahu bola sepak pantai buat masa ini lebih memerlukan kelajuan.”