Di mana Nurridzuan Abu Hassan & Wan Zack Haikal kini?

13,077

Setiap pemain bola sepak pasti mempunyai zaman naik turunnya dan oleh sebab itu mereka perlu bijak dalam mengatur perjalanan karier mereka supaya mereka bukan sahaja dapat mencapai kejayaan dalam kerjaya tetapi juga kebajikan terjaga.

Perkara itu dinyatakan oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris ketika sesi soal jawab bersama penyokong JDT.


Ketika sesi tersebut berlangsung, TMJ mendedahkan dua pemain pernah menolak tawaran daripada JDT untuk beraksi bersama kelab itu iaitu Nurridzuan Abu Hassan dan Wan Zack Haikal Wan Noor.

“Kalau dia (Nurridzuan) dalam JDT hari ini sudah menang berapa piala dan berapa agaknya duit dalam bank,” ujar TMJ.

Tidak dapat dinafikan Nurridzuan ketika ini merupakan pemain yang mendapat perhatian banyak pasukan yang mahukan khidmatnya dek prestasi cemerlang.

Nurridzuan bagaimanapun menolak tawaran daripada JDT kerana mahu beraksi dengan kelab pilihannya.

Pemain berasal dari Perak memulakan karier bola sepak bersama skuad Piala Presiden Perak yang mana ketika itu beliau yang merupakan kapten pasukan telah berjaya membawa pasukan itu menjuarai Piala Presiden pada tahun 2012.

Kejayaan itu telah membuatkan beliau diserap ke skuad utama sehingga hujung musim. Nurri kemudian telah menyarung jersi Harimau Muda A selama dua tahun sebelum kembali ke Ipoh, Perak untuk bermain untuk The Bos Gaurus.

Ketika itu beliau berada pada prestasi terbaik. Beliau kemudian berhijrah ke pasukan Pahang, PKNS FC, Selangor dan Melaka United FC namun gagal mempamerkan prestasi terbaik menyebabkan kelibatnya kini tiada dalam saingan Liga Malaysia.

Seorang lagi nama pemain yang disebut oleh TMJ adalah pemain tengah Wan Zack Haikal yang mana beliau juga pernah ditawarkan kontrak oleh JDT tetapi menolak tawaran tersebut.

Mungkin majoriti pemain dan peminat merasakan gaji lumayan adalah objektif utama setiap pemain, namun Wan Zack Haikal pula sebaliknya apabila beliau tidak meletakkan gaji lumayan sebagai keutamaannya.

Pemain berusia 31 tahun itu memulakan karier seniornya bersama skuad Felda United pada tahun 2007 sebelum berhijrah ke pasukan Harimau Muda B dan kemudian Harimau Muda A yang menyaksikan beliau ketika itu berada pada prestasi terbaik.

Kehebatan Wan Zack Haikal ketika itu telah menarik perhatian kelab dari Slovakia iaitu FC ViOn Zlate Moravce yang mendapatkan khidmatnya secara pinjaman.

Beliau kemudian telah berhijrah ke Jepun untuk beraksi bersama FC Ryukyu, namun gagal mendapat tempat sebagai tonggak utama dan mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air dengan menyertai Kelantan pada tahun 2014.

Ketika itu, beliau telah beraksi dalam saingan Piala AFC namun mereka gagal melepasi peringkat kumpulan.

Pada tahun 2017 beliau kembali ke pangkuan Felda United sebelum ke Selangor dan kini beraksi bersama skuad Perak FC.

Walaupun skuad Perak berdepan masalah tunggakan gaji sebelum ini, namun Wan Zack tetap kekal bersama skuad The Bos Gaurus itu dan pengorbanannya akhir terbalas juga apabila pasukan itu kini diambil oleh syarikat gergasi telco XOX Berhad.

Beliau yang kini merupakan tonggak utama Perak dan bakal berada dalam perancangan baru Perak untuk mengembalikan zaman kegemilangan pasukan itu.

Wan Zack Haikal kini boleh dikatakan berada dalam salah sebuah kelab bola sepak terkaya selepas JDT dengan pengurusan Perak kini bersungguh-sungguh mahu menaikkan semula reputasi kelab tersebut dan telah pun melantik bekas jurulatih remaja Bayern Munich, bekas Pengarah NFDP & AMD, Lim Teong Kim untuk mengemudi pasukan itu.

Dengan perkembangan terbaru ini ia pasti akan memberi lebih motivasi buat Wan Zack Haikal kerana beliau ketika ini menjadi bualan ramai peminat Perak berikutan prestasi terbaik yang dipamerkan.

Apa yang boleh diperkatakan di sini adalah nasib setiap pemain adalah berbeza dan kita tidak boleh ‘pukul rata’ bahawa jika tidak terima tawaran gaji lumayan daripada kelab tertentu, mereka tidak boleh ‘hidup senang’.

Tidak semua pemain yang ‘bertuhankan wang’ kerana setiap pemain mempunyai perancangan karier bola sepak tersendiri.

Bagaimanapun seperti yang diperkatakan oleh TMJ, setiap pemain perlu bijak dalam membuat keputusan agar karier bola sepak mereka tidak menjunam begitu sahaja jika tersilap langkah.