Pengalaman lebih 19 tahun bantu Akmal Rizal bawa pasukan Pulau Pinang cipta sejarah di SUKMA

1,220

Ketua jurulatih pasukan SUKMA (Sukan Malaysia) Pulau Pinang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli memberitahu pengalamannya lebih 19 tahun sebagai pemain yang pernah bermain di bawah jurulatih tempatan dan luar negara telah bantunya bawa pasukan itu cipta sejarah layak ke perlawanan akhir.

“Ya saya bermain selama 19 tahun sebagai pemain bola sepak profesional dan saya telah bersama dengan ramai jurulatih tempatan dan juga luar negara, jadi saya tahu apa yang saya nak sebagai pemain dan jurulatih.

Jadi apabila saya membentuk sebuah pasukan saya mahu pemain-pemain senang dengan saya dan boleh bekerjasama dengan saya. Dengan pengalaman saya sebelum ini saya turunkan kepada pemain,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam perlawanan separuh akhir semalam, Pulau Pinang telah berjaya mencipta sejarah layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan Wilayah Persekutuan (Wipers) 1-0 di Stadium UiTM Shah Alam.


Perlawanan yang sepatutnya menjadi perlawanan menarik telah bertukar menjadi tegang apabila berlaku insiden tidak diingini susulan tindakan pegawai pasukan Wilayah Persekutuan mengejar pengadil berikutan tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

Mengulas mengenai insiden tersebut, Akmal Rizal berkata beliau sudah menjangkakan perlawanan malam tadi akan menjadi tegang dan beliau awal-awal lagi sudah menasihati para pemainnya supaya tidak terlibat dalam sebarang insiden.

Dalam pada itu, pengendali skuad Harimau Kumbang berkata kejayaan di SUKMA ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaan peminat dengan prestasi hambar skuad utama Penang FC di Liga Super.

Beliau pada masa sama memohon seluruh rakyat Pulau Pinang mendoakan kejayaan mereka pada perlawanan akhir nanti yang mana mereka akan bertemu dengan Terengganu.

“Kami sekarang ini perlu memberi fokus macam mana kami hendak menghadapi Terengganu nanti. Kami akan buktikan sesuatu dan akan berjuang sehingga ke wisel penamat nanti bagi memastikan kami dapat memenangi pingat emas.”

Perlawanan akhir bagi merebut ibu pingat SUKMA akan berlangsung pada 23 September ini.