‘Perang’ bermula menjelang perlawanan tumpuan KDA FC vs JDT 4 Oktober ini!
Ramai yang sedia maklum dengan perseteruan di antara Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris.
Kedua-dua figura ini sering kali membalas kenyataan di media sosial dan juga di media massa dengan setiap kenyataan mereka mencetuskan pertelingkahan di antara warganet terutamanya peminat bola sepak.
Setelah seketika menyepi, kini kedua-dua mereka kembali ‘berperang’ di media sosial apabila TMJ memuat naik IG Story gambar badut makanan segera dengan kelibat burung Kenari termasuk kapsyen; ‘Dari dulu baik zip aja mulut tu. Makin banyak bunyi makin terserlah kebodohan. Pegang semua benda gagal. Negeri gagal, ekonomi gagal, sukan gagal, semua gagal. Ini namanya expert of gagal/failure.’
Posting tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai yang ada bersetuju dan ada yang tidak kerana ada fakta yang tidak benar terutamanya mendakwa negeri dan ekonomi gagal sedangkan pada tahun ini suku kedua tahun mereka mencatatkan pelaburan bernilai RM20 billion.
Malah pada tahun 2021 mereka mencatatkan nilai pelaburan tertinggi sebanyak RM68.3 billion di sebalik krisis pandemik.
Tolak ketepi perihal ekonomi, ‘perang’ media sosial antara Sanusi dan TMJ tercetus apabila Menteri Besar Kedah itu memuat naik satu posting yang mendedahkan insiden penarikan balik pemain pinjaman yang menjadi isu sebelum ini.
Walaupun tidak menyebut mana-mana nama pemain atau pasukan, namun orang ramai terutamanya peminat sudah dapat meneka siapa dan pasukan manakah yang dimaksudkan itu.
Selepas posting tersebut tular, TMJ ‘membalas’ kenyataan itu dengan membuat hantaran di IG Story milik baginda.
Tidak lama kemudian, Sanusi sekali lagi memuat naik posting balas dengan memuat naik tangkap layar IG Story TMJ dengan beberapa gambar beliau yang lain dengan kapsyen; ‘Panaih tak paaa.. Koyak jangan laaa.’
Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa kedua-dua figura ini akan rancak berbalas kenyataan menjelang perlawanan antara pasukan Kedah Darul Aman FC dan JDT.
‘Perang’ yang sedang berlaku ketika ini mungkin bertujuan mahu menghangatkan lagi atau mempromosikan lagi perlawanan Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan itu pada 4 Oktober ini.
Lebih menarik lagi, JDT berpeluang untuk menjulang trofi Liga Super di Stadium Darul Aman jika mereka berjaya tumbangkan Sang Kenari nanti.
Bagaimanapun skuad Harimau Selatan itu perlu tewaskan Negeri Sembilan FC terlebih dahulu pada 1 Oktober di tempat sendiri jika mereka mahu julang trofi di Darul Aman.
Dijangka perlawanan kedua-dua pasukan gergasi Utara dan Selatan itu akan menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak tanah air dan dijangka akan menjadi perlawanan ‘panas’.
Adakah JDT akan julang trofi di Darul Aman? Atau KDA FC akan buat kejutan? Sama-sama kita tunggu.