Gara-gara gaji tertunggak, pemain Melaka United ‘ikat perut’ makan nasi bujang

3,913

Isu tunggakan gaji dalam Liga Malaysia adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan lagi dan boleh dikatakan setiap musim ada sahaja pasukan yang culas mengenai tanggungjawab kewangan mereka terhadap pemain dan pegawai pasukan.

Awal musim ini, krisis itu melanda pasukan Liga Perdana, Perak FC sehinggakan kecoh para pemain terpaksa menjamah nasi dengan sup sahaja tanpa lauk.


Situasi itu seakan-akan berjangkit kepada pasukan Melaka United FC baru-baru ini apabila satu gambar menunjukkan dua pemainnya, Syahrul Azwari dan Fakhrullah Rosli hanya makan nasi bujang tular di media sosial.

Di gambar tersebut, tertulis kapsyen yang berbunyi: “”Jangan bersedih kawan, moga ada sinar tahun depan” seolah-olah menunjukkan bahawa mereka sudah redha dengan nasib yang menimpa mereka.

Baru-baru ini, Malaysian Football League (MFL) telah membatalkan penyertaan kelab itu daripada bertanding di Piala Malaysia disebabkan kegagalan melunaskan tunggakan gaji.

Menurut MFL, Melaka United hanya hanya dapat mengemukakan bukti pembayaran sehingga Jun 2022 walaupun telah diberikan peluang untuk menyelesaikan pembayaran pada 20 September.

Perkara itu ternyata memberi kesan yang besar terhadap periuk nasi para pemain dan pegawai pasukan yang mempunyai komitmen mereka tersendiri, termasuk keluarga yang bergantung kepada duit gaji mereka.

Ia juga membuatkan para penyokong berang selepas pasukan itu tidak dapat beraksi dalam kejohanan berprestij itu disebabkan sikap pihak pengurusan yang tidak bertanggungjawab.

Tambahan pula, ini bukanlah kali pertama masalah tunggakan gaji berlaku melibatkan pasukan itu, boleh dikatakan setiap tahun masalah sama akan berlaku.

Sebagai penganjur Liga Malaysia yang meluluskan lesen kepada kelab itu, MFL juga harus bertanggungjawab dan tidak boleh lepas tangan.

Sudah tiba masanya pihak MFL bertegas dengan Melaka United dan tidak hanya memberi peluang kepada mereka setiap kali masalah ini timbul.

Perbuatan memberi amaran hanya ibarat mencurah air ke daun keladi kerana kelab itu nampaknya tidak insaf-insaf.  

Dalam satu kenyataan, kelab itu memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat termasuklah para penyokong gara-gara slot ke Piala Malaysia mereka ditarik.

Permohonan maaf bagaimanapun tidak dapat membayar segala komitmen pemain dan pegawai serta tidak dapat memadam api kemarahan penyokong yang telah bersabar dengan pihak pengurusan saban tahun.

Jika pihak pengurusan benar-benar kesal, mereka harus segara menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pastikan isu ini tidak timbul lagi selepas ini.