Skandal penyelewengan wang 6.8 juta Yen libatkan Persatuan Badminton Jepun, duit kemenangan Kento Momota habis lesap

4,653

Dunia badminton dunia baru-baru ini dikejutkan dengan skandal penyelewengan wang oleh salah seorang staf Persatuan Badminton Jepun (NBA) melibatkan wang bernilai kira-kira 6.8 juta Yen (RM 218,560).

Menurut laporan media tempatan, sebahagian daripada dana ini adalah perbelanjaan untuk perjalanan pemain Jepun ke kejohanan luar negara, yang kebanyakannya diperoleh daripada bonus kemenangan yang dimenangi oleh para pemain.


Sumber memberitahu, kejadian ini telah berlaku sejak 2017 lagi dan pada 2019, pihak NBA telah mengetahui akan hal itu tetapi tidak membawa staf it uke muka pengadilan tetapi hanya mengarahkannya supaya meletakkan jawatan.

Menurut pihak NBA, mereka berbuat demikian bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku menjelang Sukan Olimpik Tokyo namun siasatan oleh pihak ketiga mengatakan bahawa ia adalah tindakan untuk melindungi diri sendriri.

Menurut pihak ketiga itu lagi, perbuatan penggelapan wang sebenarnya sudah menular dalam organisasi tersebut tetapi NBA tidak mahu orang luar mengetahui akan perkara itu.

Terdapat juga laporan yang mengatakan antara wang yang digelapkan adalah hasil kemenangan daripada bekas perseorangan lelaki nombor satu dunia, Kento Momota.

Pada tahun 2018 ketika beliau berada di puncak, Momota berjaya mengumpulkan lebih daripada US $400,000 (RM 1,826,800) daripada hasil kemenangannya dan berdasarkan peraturan NBA, beliau harus membayar 10% daripada jumlah itu kepada badan tersebut iaitu kira-kira RM182,680.

Disebabkan itu, ramai pihak yang mendakwa bahawa kebanyakan wang yang diseleweng adalah hasil daripada hadiah kemenangan Momota.

Ia juga mungkin menjadi sebab mengapa prestasi Momota sejak 2020 turun dengan mendadak sehingga ke hari ini.

Selepas terlibat dengan kemalangan setelah menjuarai Terbuka Malaysia pada 2020, Momota yang dahulunya salah seorang bintang dalam dunia badminton kini sudah tidak lagi digeruni oleh pihak lawan.

Ada yang membuat spekulasi bahawa kemalangan itu menjadi punca beliau tidak lagi seperti dahulu tetapi tidak mustahil skandal yang melibatkan NBA turut memberi kesan kepada prestasi beliau.

Apa yang pasti adalah skandal ini pastinya memberi kesan yang besar terhadap dunia badminton Jepun dan boleh menyebabkan para pemain terganggu lebih-lebih lagi dengan kejohanan BWF World Tour Finals kini semakin dekat.