Tempoh latihan singkat dan tiada perlawanan kompetitif jadi faktor kegagalan skuad B-19 di kelayakan Piala Asia B-20

389

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-19 Malaysia, Hassan Sazali Waras mengakui tempoh latihan yang singkat, persiapan tidak rapi termasuk tiada perlawanan kompetitif menjadi faktor kegagalan skuad B-19 di kelayakan Piala Asia B-20 baru-baru ini.

“Apa yang saya boleh katakan adalah kita tiada perlawanan kompetitif di peringkat antarabangsa. Jika kita lihat pasukan lain seperti Vietnam dan Indonesia mempunyai persiapan rapi.

Sebagai contoh pasukan Indonesia terbang ke Jepun selama dua minggu untuk membuat persiapan khusus bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Asia B-20, jadi apa yang kita lihat hasilnya apabila mereka berjaya layak ke Piala Asia B-20 tahun depan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Indonesia menjadi satu-satunya pasukan daripada rantau Asia Tenggara (ASEAN) yang berjaya layak selaku juara kumpulan.


Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E menamatkan saingan di tempat ketiga selepas tiga perlawanan dengan mencatatkan satu seri 1-1 menentang Mongolia, menang 3-0 dengan Sri Lanka dan dibelasah Korea Selatan 6-2 pada perlawanan terakhir.

Hassan Sazali berkata, beliau sememangnya mempunyai perancangan untuk pemainnya bermain dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Palestin dan Chinese Taipei namun kedua-dua pasukan itu tidak dapat memenuhi permintaannya.

Tambahnya lagi, mereka yang tiba lewat dan hanya mempunyai satu hari untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan padang menjadi salah satu punca mereka gagal memperoleh keputusan positif pada perlawanan pertama menentang Mongolia.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas kenyataan Pengarah Teknikal FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), Scott O’Donnell yang mengakui kegagalan kegagalan skuad B-19 negara, namun berkata kegagalan itu tidak bermakna Roadmap F:30 gagal sepenuhnya.

“Mungkin kita gagal daripada sasaran Roadmap F:30 tapi dalam masa yang sama kita berjaya julang trofi Piala AFF B-19.

Saya harap dengan apa yang kita telah lakukan saya melihat ini adalah kumpulan yang boleh diserap ke skuad B-23 atau pun ke skuad senior.”

Beliau pada masa sama turut berharap agar pihak FAM dapat mengubah dasar supaya mereka lebih tertumpu kepada pembangunan di peringkat akar umbi.