Corbin Ong berterima kasih kepada TMJ lepaskan dirinya ke King’s Cup, KPG puji mentaliti pemain tewaskan Thailand

8,544

Pemain pertahanan negara, Corbin Ong berterima kasih kepada pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana membenarkannya mewakili Malaysia di kejohanan King’s Cup.

Menurutnya, kemenangan ke atas Thailand yang dicatat sebentar tadi adalah berkat usaha ketua jurulatih, Kim Pan-gon dan para pemain serta sokongan oleh para penyokong.


“Terima kasih kepada jurulatih, para penyokong dan kelab masing-masing yang lepaskan kami ke sini, saya juga nak berikan kredit kepada TMJ kerana benarkan saya ke sini untuk mewakili negara.

Jurulatih telah berikan kami pelan dan kami berusaha keras beberapa hari ini dari segi teknikal dan taktikal untuk lakukan yang terbaik. Saya gembira apabila dapat menjaringkan gol pertama tetapi ia semua adalah kerjasama berposukan,”

katanya.

Menurutnya, semua pemain menunjukkan karakter yang baik berdepan dengan tekanan pada perlawanan itu, terutama ketika penentuan sepakan penalti.

Jelasnya, gol yang dijaringkan olehnya pada perlawanan itu adalah hasil daripada latihan yang dilakukan bersama rakan-rakan sebelum ini.

Beliau mengakui gembira dapat menjaringkan gol tersebut dan menegaskan bahawa tugasnya adalah untuk membantu pasukan dalam apa jua cara.

Dalam pada itu, Pan-gon memuji mentaliti yang dimiliki anak buahnya untuk mencatatkan kemenangan pada perlawanan itu.

“Terima kasih kepada semua pemain atas persembahan yang baik, mereka menunjukkan mentaliti yang bagus walaupun kami menerima tekanan dari segi mental dan fizikal pada perlawanan ini.

Kami jangka boleh tamatkan perlawanan sebelum separuh masa kedua tamat tetapi dalam 25 tahun karier saya, saya telah hadap benda ini banyak kali dan pemain menunjukkan kepada saya komitmen mereka.”

Katanya, beliau percaya pemainnya cukup kuat untuk menghadapi situasi seperti itu dan mereka berjaya membuktikan kepadanya.

Menurutnya, beliau akan menonton analisis perlawanan tersebut untuk melihat apa yang harus diperbaiki menjelang perlawanan akhir menentang Tajikistan 25 September ini.