Senarai kesebelasan awal sudah ‘bocor’ lebih awal, tindakan tepat KPG minta ‘nasihat’ TMJ?

7,034

Di sebalik kemenangan Malaysia menewaskan Thailand melalui penentuan sepakan penalti pada perlawanan pertama King’s Cup semalam, terdapat pertikaian dalam kalangan penyokong sebelum sepak mula berlangsung.

Sebelum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan senarai kesebelasan utama semalam, ia nampaknya sudah ‘bocor’ terlebih dahulu apabila pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuatnaik senarai kesebelasan utama di Instastory baginda.


Tindakan itu dipertikaikan oleh ramai pihak kerana ia menunjukkan bahawa pemilik kelab mempunyai hierarki yang lebih tinggi dalam skuad kebangsaan berbanding ketua jurulatih, Kim Pan-gon dan pihak pengurusan.

Namun ada juga yang menganggap bahawa perkara itu tidak menjadi masalah memandangkan kebanyakan pemain dalam kesebelasan utama dan juga dalam keseluruhan skuad adalah daripada JDT.

Jadi mungkin TMJ sendiri boleh memberi nasihat mengenai pemain-pemain yang dipilih memandangkan baginda lebih mengenali mereka.

Apa yang penting adalah, Malaysia menang perlawanan itu dan gol tunggal negara dijaringkan oleh pemain JDT iaitu Corbin Ong, malah pemain yang memberi ‘assist’ iaitu Safawi Rasid juga adalah dari kelab yang sama.

Mungkin pandangan yang diberikan oleh TMJ sedikit sebanyak membantu persembahan baik skuad negara pada perlawanan itu.

Pada perlawanan seterusnya menentang Taijikistan, mungkin situasi sama akan berlaku lagi dan pelbagai pihak akan terus bertelagah mengenai perkara itu, tetapi selagi ia memberi kebaikan dan mendatangkan kemenangan, tiada apa yang perlu dipertikaikan.

Dalam pada itu, kemenangan menentang Thailand itu memastikan Malaysia mengutip  3.57 mata berharga dalam ranking FIFA.

Sebelum ini, negara mengumpul 1,057.59 mata dan berada di ranking ke-148, dengan kenaikan mata tersebut, Malaysia kini mempunyai 1,061.16 mata dan naik satu tangga mengatasi Botswana, namun bergantung kepada keputusan perlawanan antarabangsa lain.

Sekiranya Malaysia mampu mengutip mata lagi pada perlawanan akhir menentang Taijikistan Ahad ini, tahun ini boleh dikatakan tahun yang membanggakan buat bola sepak Malaysia.

Bukan sahaja kedudukan skuad kebangsaan negara naik, ranking Liga Malaysia juga tahun ini sudah naik dengan mendadak dan kini merupakan liga keempat terbaik di Asia Timur dan kelapan terbaik di seluruh Asia hasil persembahan mantap oleh kelab-kelab tempatan dalam kejohanan AFC terutamanya JDT yang menyumbangkan majoriti mata tersebut.

Diharapkan, momentum kecemerlangan ini mampu diteruskan pada saingan Piala AFF hujung tahun ini sehinggalah ke kejohanan Piala Asia 2023.