Syihan Hazmi memang berpotensi jadi penjaga gol utama Malaysia tapi jangan lupa jasa Farizal Marlias

4,476

Semalam seluruh rakyat Malaysia bergembira selepas pasukan kebangsaan negara berjaya menewaskan gergasi Thailand dalam penentuan sepakan penalti dalam perlawanan yang cukup mendebarkan di kejohanan King’s Cup Thailand 2022.

Walaupun skuad Harimau Malaya mempunyai peluang untuk menang dalam tempoh 90 minit, namun kelekaan pada minit-minit akhir menyaksikan pemain Gajah Perang berjaya menyamakan kedudukan sekaligus mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.


Kehebatan penjaga gol negara Syihan Hazmi telah menarik perhatian ramai apabila beliau menjadi wira negara apabila menyelamatkan sepakan penalti keempat sekaligus membawa negara ke perlawanan akhir yang mana mereka akan menentang Tajikistan pada 25 September ini.

Tidak dapat dinafikan ramai yang menjadikan penjaga gol dari Negeri Sembilan FC itu dinobat sebagai Man Of The Match dengan menyelamatkan empat percubaan berbahaya termasuk sepakan penalti.

Disebalik keterujaan ramai terhadap prestasi cemerlang Syihan sehingga ada yang mengatakan beliau bakal menjadi penjaga gol utama, namun jangan kita lupa dengan jasa Farizal Marlias yang sudah lama berbakti kepada skuad negara.

Pada masa sama kita juga tidak lupakan jasa pemain di barisan pertahanan dan juga seluruh pemain lain di atas padang yang memberikan komitmen yang cukup tinggi dan bermain sebagai satu unit menyebabkan pasukan lawan sukar menembusi gawang negara.

Sememangnya Syihan merupakan pengganti terbaik Farizal berikutan penjaga gol utama Johor Darul Ta’zim (JDT) itu kini sudah berusia 36 tahun, namun kelibatnya sangat diperlukan terutamanya di bilik persalinan.

Perkara ini turut diakui oleh pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris yang berkata Farizal merupakan figura yang penting dalam skuad Harimau Selatan kerana aura kempimpinannya berjaya bantu pasukan itu menjuarai pelbagai kejuaraan.

Kejohanan King’s Cup Thailand ini merupakan platform terbaik untuk ketua jurulatih Kim Pan-gon untuk menguji pemain baru untuk memberinya lebih pilihan untuk membentuk sebuah pasukan yang ampuh menjelang kejohanan Piala AFF pada hujung tahun ini.

Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh Syihan ini akan memberi kelebihan buat Pan-gon dalam merencana strategi terbaik nanti kerana beliau tidak akan bimbang dengan posisi tersebut berikutan mempunyai beberapa penjaga gol terbaik yang bersedia untuk beraksi pada bila-bila masa sahaja.

Walaupun Syihan sedang dalam prestasi terbaik, namun Pan-gon dijangka akan kembali menyenaraikan Farizal dalam skuad untuk menghadapi kejohanan Piala AFF dan Piala Asia 2023 nanti.

Khabar angin yang mengatakan Farizal akan berhijrah ke Melaka United FC pada musim hadapan juga boleh dikatakan tidak berasas kerana TMJ sendiri dedahkan bahawa penjaga gol berusia 36 tahun itu adalah individu penting dalam skuad JDT.

Berbalik kepada Syihan, perjalanan pemain berusia 26 tahun itu sangat berliku dan mencabar sebelum beliau mengecapi kejayaan seperti ketika ini.

Antara detik hitam yang hampir memusnahkan kariernya apabila beliau digantung dari bermain bola sepak selama 20 bulan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas gagal ujian doping ketika beraksi dalam Kejohanan AFC B-23 di China pada tahun 2018.

Selepas selesai penggantungan, beliau telah menandatangani kontrak bersama PJ City FC, namun berikutan tidak mendapat minit permainan beliau kembali menyertai Negeri Sembilan dan telah membuktikan kemampuannya dan akhirnya menjadi penjaga gol utama untuk pasukan itu.

Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh Syihan kini mula mendapat perhatian banyak pasukan yang mula mengintai untuk cuba mendapatkan pemain itu untuk beraksi bersama pasukan mereka pada musim depan.

Tambahan pula kontrak Syihan bersama Negeri Sembilan juga bakal berakhir pada hujung musim ini dan jika pengurusan Jang Hobin mahu terus guna khidmat pemain itu mereka perlu segera menawarkan kontrak lanjutan sebelum disambar pasukan lain.

Apa-apa pun kita doakan yang terbaik buat Syihan kerana perjalanannya masih lagi jauh dan banyak lagi cabaran yang perlu dihadapinya.