Pemain kebangsaan dominasi separuh akhir badminton Sukma, peluang bakat baru tunjuk kemampuan terhad?

1,369

Seperti yang dijangka, acara separuh akhir badminton perseorangan lelaki Sukan Malaysia (Sukma) XX didominasi oleh empat pemain kebangsaan negara yang akan berentap pada hari ini.

Wakil Johor yang juga perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong akan bertemu Aidil Sholeh Ali Sadikin yang mewakili Selangor, manakala satu lagi separuh akhir bakal mempertemukan wakil Wilayah Persekutuan, Leong Jun Hao dan Jacky Kok Jing Hong dari Kedah.


Melihat kepada dominasi pemain kebangsaan dalam acara badminton, terdapat persoalan timbul mengenai penyertaan mereka dalam kejohanan tersebut.

Tidak dapat dinafikan bahawa sudah tentu kontinjen negeri masing-masing gembira apabila atlet bertaraf dunia mahu mewakili negeri dalam Sukma, tetapi dari sudut pandangan lain, ia seakan-akan menutup peluang buat bakat baru untuk menyinar.

Matlamat Sukma sendiri adalah untuk mencungkil lebih banyak atlet-atlet pelapis yang mampu mewakili negara pada masa depan.

Kejohanan Sukma juga boleh dikatakan sudah ‘tidak setanding’ dengan tahap pemain-pemain tersebut terutama Tze Yong yang sudah mengecapi pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa.

Tambahan pula, pemain-pemain tersebut terutamanya Tze Yong bakal menyertai beberapa kejohanan antarabangsa selepas ini, dikhuatiri mereka akan mengalami kecederaan sekiranya tidak cukup rehat.

Bagi Sukma kali ini, BAM melepaskan 65 pemain bagi mewakili negeri masing-masing dalam kejohanan itu.

Mungkin bagi edisi seterusnya, BAM tidak perlu melepaskan pemain daripada skuad utama untuk menyertai Sukma dan memberi peluang kepada skuad simpanan dan bakat-bakat baru untuk menunjukkan tahap kemampuan mereka.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen