Park Hang-seo ‘intip’ perlawanan Malaysia vs Thailand, amaran awal buat Harimau Malaya dalam Piala AFF
Ketika perlawanan antara Malaysia dan Thailand pada kejohanan King’s Cup semalam, kelibat ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo yang hadir di stadium menyaksikan perlawanan itu mencuri tumpuan pelbagai pihak.
Ia bagaimanapun tidak menjadi kejutan kerana beliau sememangnya diketahui amat rajin dalam ‘mengintip’ pasukan lawan.
Kehadirannya dalam perlawanan itu dipercayai ada kaitan dengan kejohanan Piala AFF hujung tahun ini di mana Malaysia diundi dalam kumpulan yang sama dengan pasukannya.
Selain itu, Thailand yang juga penyandang juara merupakan salah satu pencabar terkuat Vietnam yang memburu kejuaran ketiganya.
Hang-seo nampaknya sudah giat melakukan ‘kerja rumah’ mengkaji pencabar terkuatnya dan ini adalah satu petanda bahawa Malaysia harus berwaspada dengan Vietnam pada kejohanan itu nanti.
Pada perlawanan persahabatan baru-baru ini, Vietnam berjaya ‘membantai’ Singapura 4-0 walaupun dibarisi rata-rata pemain muda daripada skuad B-23.
Hang-seo juga mengakui bahawa beliau masih belum menggunakan kekuatan sebenar pada perlawanan itu, dengan 10 pemain yang bermain pada perlawanan itu adalah daripada skuad B-23.
Ini menunjukkan mereka jelas mempunyai squad depth yang menggerunkan, di mana pemain-pemain simpanan mereka juga setanding dengan pilihan utama.
Bayangkan apa yang mereka mampu lakukan sekiranya turun dengan kekuatan sebenar pada Piala AFF nanti.
Sejak Hang-seo mengambil alih pasukan itu pada September 2017, tidak dinafikan Vietnam telah menunjukkan peningkatan mendadak apabila melonjak daripada ranking 134 ke 97 dunia.
Selain itu, jurulatih berusia 65 tahun itu juga dapat menerapkan falsafah dan DNA baru dalam bola sepak Vietnam dengan permainan pantas dan hantaran pendek.
Justeru, ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon juga harus membuat persediaan rapi dari sekarang lagi bagi menghapuskan ‘badi’ Vietnam pada kejohanan tersebut.