KL Rovers optimis mampu jadi juara Liga M3 dan naik Liga Super musim depan – Zamri Hassan

446

Ketua jurulatih pasukan KL Rovers FC, Zamri Hassan memberitahu mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan akhir menentang PIB FC esok malam bagi menjulang trofi Liga M3.

Selain menyasarkan kejuaraan Liga M3, pasukannya juga mahu mencapai sasaran mereka untuk beraksi di saingan Liga Super pada musim depan.


“KL Rovers ini mencipta sejarah pada tahun ini untuk menjulang trofi Liga M3. Selepas final kami akan bermain play-off pula yang mana kami harap dapat capai sasaran untuk bermain di Liga Super pada musim hadapan,”

katanya.

Zamri pada masa sama turut berkata persiapan pasukannya tidak terjejas langsung walaupun dua tonggak utama tidak dapat diturunkan pada perlawanan akhir esok berikutan digantung.

“Ya untuk perlawanan akhir ini kami tidak dapat turunkan dua pemain utama berikutan digantung, bagaimanapun saya percaya pada kemampuan kesemua pemain saya, malah mereka juga sentiasa bersedia jika diturunkan.”

Dalam pada itu, tonggak utama Hisyamudin Mohamad Sha’ari pula berkata perlawanan akhir nanti akan menjadi satu perlawanan yang cukup bermakna buatnya kerana ia merupakan perlawanan akhir pertama dalam kariernya.

Walaupun sebelum ini pernah menjulang trofi Piala Perdana, namun beliau belum pernah merasai perlawanan akhir bagi merebut trofi.

“Untuk perlawanan final ini ia adalah satu pengalaman baru sebab selama ini saya tidak pernah merasai perlawanan final.

Saya pernah julang trofi Liga Perdana sebelum ini tetapi bukan dalam situasi perlawanan final seperti ini.”

Hisyamudin juga menyuarakan keyakinannya terhadap gabungan pemain senior dan muda KL Rovers yang dilihat menjadi ramuan yang tepat untuk menjadi sebuah pasukan yang ampuh.

Beliau merupakan antara bekas pemain Liga Super dan Liga Perdana yang mewarnai saingan Liga M3 pada musim ini.

Pengalaman pernah beraksi bersama pasukan UiTM FC, Kuala Lumpur, Perak serta pernah bersama skuad Harimau Malaya dikongsi dengan pemain KL Rovers yang lain.

KL Rovers akan menentang PIB pada perlawanan akhir Liga M3 yang akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur.