Sah format Liga M3 pada musim depan akan diubah

1,164

Saingan Liga M3 untuk musim 2022 bakal melabuhkan tirainya esok (24 September) apabila bakal berlangsungnya perlawanan akhir di antara pasukan PIB FC menentang KL Rovers yang mana salah satu pasukan akan dinobat sebagai juara Liga M3.

Pada musim ini format Liga M3 dibuat secara kumpulan yang mana sebanyak 20 pasukan bertanding dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B.


Empat pasukan teratas setiap kumpulan kemudian akan mara ke peringkat kalah mati yang mana mereka akan bermain di suku akhir, separuh akhir dan akhir bagi menentukan juara liga.

Bagaimanapun dengan penstrukturan Liga Malaysia pada musim hadapan yang diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini, Amateur Football League (AFL) turut akan membuat perubahan format pada musim depan.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad yang memberitahu bahawa format Liga M3 pada musim depan akan menggunakan format liga seperti format Liga Super.

“Untuk Liga M3 musim depan kita akan berjalan dengan format satu liga sama seperti Liga Super cuma pasukan yang akan bermain dalam Liga M3 musim depan hanya 14 pasukan sahaja.

Tiga pasukan tercorot setiap kumpulan akan turun ke Liga M4, tujuh pasukan teratas akan kekal di Liga M3,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Raimi lagi, keputusan akhir mengenai pasukan yang akan kekal di Liga M3 akan bergantung kepada dua pasukan iaitu PIB FC dan KL Rovers FC yang akan beraksi di perlawnaan play-off untuk naik ke Liga Super.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perlawanan akhir Liga M3 yang akan berlangsung esok (24 September) di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur, beliau berkata pihaknya menjangkakan lebih 2,000 peminat akan membanjiri stadium bagi menyaksikan perlawanan PIB menentang KL Rovers.

Jelasnya lagi, jualan tiket perlawanan juga akan dijual secara fizikal esok bermula pukul 3.00pm hingga ke separuh masa pertama perlawanan.

“Berdasarkan jangkaan kita, mungkin lebih 2,000 peminat akan hadir esok. Kita juga menjemput tetamu khas dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk sama-sama hadir menyaksikan perlawanan akhir ini.”