Majoriti stadium di Malaysia perlu dinaik taraf jika mahu kalander Liga Malaysia ikut format liga Eropah

812

Liga Malaysia bakal berubah pada musim hadapan selepas Malaysian Football League (MFL) telah membuat penstrukturan liga yang akan menyaksikan saingan Liga Super akan mempunyai 18 pasukan berbanding 12 pasukan sebelum ini.

Saingan Liga Perdana pula akan dihentikan buat seketika, dan satu liga baru iaitu Liga Simpanan untuk pemain B-23 akan diwujudkan.


Penstrukturan Liga Malaysia ini disambut baik oleh semua pihak termasuk peminat bola sepak tanah air, namun apa yang menjadi persoalan adalah adakah saingan liga akan bermula seperti biasa iaitu Februari hingga November setiap musim atau akan mengikut format liga Eropah yang akan memulakan saingan liga pada pertengahan tahun sekitar bulan Jun.

Ini berikutan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) juga sudah mengubah kalander mereka dengan saingan AFC Champions League (ACL) dan Piala AFC akan bermula pada Disember.

Pihak MFL yang mengambil maklum dengan perubahan kalendar AFC dan menyambut baik perkara itu, namun realitinya untuk mengubah format Liga Malaysia pada musim hadapan tidak akan berlaku kerana banyak faktor.

Pertamanya, kebanyakan pasukan ketika ini sedang membuat perancangan untuk menghadapi saingan liga musim depan yang bukan sahaja setiap jumlah perlawanan akan bertambah, bajet setiap pasukan juga akan meningkat hampir sekali ganda.

Selain pula, Malaysia merupakan sebuah negara yang cukup unik berbanding negara-negara lain baik di rantau Asia Tenggara mahu pun di Eropah, oleh itu perubahan kalendar liga pasti sukar untuk dilakukan terutamanya negeri di Pantai Timur yang menghadapi musim tengkujuh pada suku keempat setiap tahun.

Belum lagi kira dengan cuti umum yang mana Malaysia boleh dikatakan antara negara mempunyai cuti tahunan paling banyak.

Bagaimanapun ia tidak bermakna perubahan kalendar tidak boleh dibuat kerana jika setiap stadium dalam negara terutamanya di negeri Pantai Timur dapat membuat renovasi stadium dengan menambah bumbung, ia akan membolehkan perlawanan bola sepak diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Di Malaysia hanya pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja yang mempunyai stadium mereka sendiri dan selebihnya semuanya stadium yang disewa daripada kerajaan negeri.

Biarpun stadium sewa, namun pengurusan pasukan boleh sahaja berbincang dan berunding dengan pihak kerajaan negeri untuk memajak stadium tersebut di mana pihak pengurusan pasukan yang akan mengurus dan ‘menjaga’ stadium itu sepanjang tempoh pajakan termasuk membuat renovasi.

Ambil contoh pasukan di Liga M3 iaitu Real Chukai FC di Kemaman, Terengganu yang mana mereka telah menjalin kerjasama dengan majlis daerah negeri untuk menguruskan Stadium Mak Chili yang mana mereka telah membuat renovasi dan menaik taraf stadium untuk menjana pendapatan sendiri.

Sebuah lagi pasukan yang boleh dijadikan contoh adalah Kerteh FC yang turut terletak di Kemaman yang mana mereka turut menjalin kerjasama dengan majlis daerah yang mana mereka kini sedang membina Kerteh Sports City.

Pembinaan Sports City itu mempunyai enam fasa yang mana fasa pertama dijangka akan siap dalam masa terdekat ini yang mana ia akan menjadi hub untuk semua sukan termasuk mempunyai tempat perniagaan termasuk hotel.

Ini adalah satu rancangan yang cukup bijak kerana ia akan menjana pendapatan kelab selain kerajaan negeri turut akan menjadi keuntungan daripada kerjasama ini.

Kata kunci untuk perkara ini dapat dilaksanakan adalah kedua-dua pihak perlu mempunyai visi dan misi yang sama iaitu mahu memajukan sukan selain menjana pendapatan sekaligus dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat dan juga kerajaan negeri.

Jika ia dapat dilakukan dengan telus seperti di Kemaman, tidak mustahil kita akan melihat setiap stadium di negara ini lebih baik yang mana ia akan memaparkan elemen sesebuah pasukan itu walaupun itu bukan stadium milik mereka.

Sekiranya fasiliti stadium di seluruh negara dapat dinaik taraf, maka MFL tidak akan mempunyai masalah untuk mengubah format Liga Malaysia mengikut format seperti liga di Eropah.