Zamri Hassan mahu cipta sejarah julang trofi Liga M3, keakraban pemain kunci kekuatan KL Rovers FC

315

Ketua jurulatih KL Rovers FC, Zamri Hassan menganggap keakraban para pemain menjadi kunci kepada kejayaan pasukan itu mara sehingga ke perlawanan akhir Liga M3.

Menurutnya, para pemain bukan sahaja mengenali antara satu sama lain di dalam pada tetapi juga di luar padang dan sering duduk melakukan aktiviti bersama-sama selepas sesi latihan.


“Kami mempunyai beberapa pemain senior dan juga pemain muda, dari segi keakraban, mereka faham perangai dan sikap masing masing di dalam dan luar padang.

Saya harap para pemain tidak lakukan kesilapan dan pemain senior yang ada yang pernah beraksi pada perlawanan akhir akan beri bimbingan mereka, Insya Allah kita akan cipta sejarah buat KL Rovers memenangi piala M3 buat kali pertama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, walaupun dua pemain utamanya tidak dapat diturunkan gara-gara digantung, beliau percaya pemain lain mampu menggalas tugas mereka dengan baik pada perlawanan menentang PIB FC malam ini.

Katanya, kedua-dua pasukan sudah mengetahui cara permainan masing-masing kerana pernah bertemu dua kali di peringkat kumpulan, di mana kedua-duanya berakhir seri.

“Saya lihat para pemain PIB telah bersama daripada Piala Presiden PKNS lagi, kemudian bermain untuk Selangor II dan sekarang mereka bermain untuk PIB, jadi mereka sudah lama bersama.

“Cara bermain mereka agak agresif, jadi setiap peluang yang mereka dapat, mereka boleh menjaringkan gol dan mereka bukan harapkan penyerang sahaja untuk jaringkan gol, jadi saya beritahu pemain saya untuk elakkan daripada melakukan kesilapan dan membuat kekasaran di depan gol.”

Tambahnya, beliau ada berpesan kepada para pemain bahawa ini adalah peluang buat mereka menjulang piala dan membanggakan pasukan, keluarga dan diri sendiri.

Beliau percaya para pemain sudah bersedia untuk turun pada perlawanan itu untuk mencipta sejarah buat pasukan.