Pemain KL Rovers FC kaji permainan PIB FC menjelang ‘final’ Liga M3, mahu tamatkan perlawanan dalam 90 minit

249

Pemain KL Rovers FC, Muhammad Nazrul Kamaruzaman bertekad mahu menewaskan PIB FC pada perlawanan akhir Liga M3 malam ini untuk mencatat sejarah menjulang trofi itu buat kali pertama.

Katanya, para pemain serta jurulatih sudah melakukan persiapan rapi termasuk menonton permainan PIB menjelang perlawanan penentuan itu.


“Selepas melangkah ke perlawana akhir kami mempunyai dua minggu untuk melakukan persiapan, jurulatih sudah merangka strategi dan para pemain dah mula tonton perlawanan pihak lawan.

Bila dah masuk perlawanan akhir ini harapan saya sudah tentu mahu mendakap piala, malah saya lihat rakan-rakan pun sudah bersemangat mahu menjulang piala tersebut,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, sebagai salah seorang pemain senior dalam pasukan, beliau ada memberi semangat kepada para pemain baru untuk tidak gementar di atas padang.

Beliau percaya keharmonian yang wujud dalam pasukan adalah kunci kekuatan bagi KL Rovers.

Dalam pada itu, pemain sayap, Muhammad Faizal Hafiq Omar mengakui mereka mempunyai strategi baru untuk berdepan cabaran PIB pada perlawanan itu.

Menurutnya, beliau berasa amat teruja untuk beraksi pada perlawanan akhir pertama dalam kariernya.

“Sudah tentu kedua-dua pasukan akan ada pelan masing masing untuk tewaskan pihak lawan, saya harap rakan-rakan saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal.

Saya sendiri akan cuba lakukan sesuatu untuk menghantar bola dan mencipta peluang gol untuk penyerang.”

Menurutnya, beliau mahu menamatkan permainan dalam tempoh 90 minit dan mengelakkan perlawanan berlanjutan sehingga ke masa tambahan dan penentuan penalti.

Perlawanan antara KL Rovers dan PIB akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pukul 8.45 malam ini.