Shafiq Shaharudin tidak kisah gagal jaringkan gol menentang PIB FC asalkan KL Rovers FC juara Liga M3

335

Penyerang KL Rovers FC, Shafiq Shaharudin tidak kisah sekiranya beliau gagal menjaringkan gol pada perlawanan akhir Liga M3 menentang PIB FC malam ini, asalkan pasukannya bergelar juara.

Menurutnya, sasaran utamanya adalah untuk menjadi juara dan gembira sekiranya gol daripada pemain lain mampu merealisasikan impian tersebut.


“Selepas berjaya melangkah ke suku akhir, saya hanya sasarkan untuk menjadi juara sahaja, jika saya jaringkan gol tetapi kamu tewas ia tak guna juga.

Dalam pasukan ini semua pemain penting, walaupun mereka yang duduk di bangku simpanan sekalipun, jadi saya tidak rasa tekanan itu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Mohd Aizul Ridzwan Razali pula menjangkakan perlawanan tersebut akan berlangsung sengit dan berharap rakan-rakan dapat bersedia dari segi psikologi.

Menurutnya, mereka sudah bersedia untuk mengikut segala strategi yang jurulatih telah tetapkan untuk mendapatkan kemenangan.

“Perlawanan ini adalah satu sejarah buat KL Rovers kerana sebelum ini kami tak pernah layak ke peringkat seterusnya.

Jadi ini adalah saat yang penting buat kami untuk cipta sejarah membawa pulang piala tersebut.”

Beliau menganggap, hubungan antara para pemain yang begitu akrab di dalam dan luar padang menjadi resipi buat pasukan itu mara ke perlawanan akhir.

Mohd Aizul berharap pasukannya dapat meneruskan momentum kecemerlangan dalam liga pada perlawanan malam ini.