Kami mahu pulang ke Malaysia dengan trofi ditangan – Brendan Gan

2,216

Pemain tengah negara, Brendan Gan memberitahu beliau dan rakan sepasukan akan turun dengan mind set mahu menang dalam setiap perlawanan yang mereka akan hadapi dan akan terus pamer aksi cemerlang untuk dapatkan keputusan yang dimahukan.

“Kami sedar akan tekanan apabila turun menentang Thailand sebelum ini, dan kami juga sedar yang peminat di tanah air mahukan kami menang, malah kami sebagai pemain bola sepak juga mahu menang semua.

Tidak kira jenis perlawanan persahabatan, kejohanan atau apa sahaja pasti kami mahu menang. Saya rasa itulah mind set kami apabila setiap kali turun beraksi. Kami perlu pamer aksi terbaik untuk dapat keputusan positif,”

katanya.

Tambahnya, beliau dan rakan sepasukan terus mempertingkatkan kualiti permainan mereka.


Brendan pada masa sama turut berkata mereka sudah bersedia dengan perlawanan akhir esok menentang Tajikistan bagi merebut trofi King’s Cup Thailand.

“Kami akan bersedia untuk perlawanan esok malam. Dengan maklumat mengenai lawan (Tajikistan) daripada barisan kejurulatihan dan apa yang paling penting adalah kami mahu pulang ke Malaysia dengan trofi ditangan.”

Dalam pada itu, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon berharap perlawanan esok akan berakhir dalam tempoh 90 minit tanpa lanjutan kepada sepakan penalti.

Pan-gon bagaimanapun berkata sekiranya mereka sekali lagi diheret ke penentuan penalti, kesemua pemainnya sudah bersedia.

“Harap permainan akan tamat dalam tempoh sebenar 90 minit, bagaimanapun jika ia berlarutan kepada sepakan penalti, pemain saya sudah bersedia.”

Sementara itu, pengendali dari Korea Selatan itu berkata ia akan menjadi pencapaian yang cukup cemerlang sekiranya mereka mampu menjulang trofi King’s Cup Thailand selepas kali terakhir berbuat demikian pada 44 tahun lalu.

Malaysia akan menentang Tajikistan pada perlawanan akhir King’s Cup Thailand esok (25 September), manakala tuan rumah Thailand pula akan menentang Trinidad And Tobago bagi menentukan tempat ketiga dan keempat.