Perubahan taktikal pada separuh masa kedua membuahkan hasil – K. Ramachandran

426

Ketua jurulatih PIB FC, K. Ramachandaran gembira apabila perubahan taktikal yang dilakukan pada separuh masa kedua membuahkan hasil apabila mereka berjaya memberi saingan sengit buat KL Rovers dan akhirnya berjaya merangkul trofi Liga M3 malam tadi.

“Pada separuh masa pertama PIB tidak bermain cara permainan kami. Ketika di bilik persalinan selepas saya arahkan pemain supaya bermain bersungguh-sungguh dan membuat perubahan taktikal dan ia membuahkan hasil.

Saya akui KL Rovers sebuah pasukan yang kuat dan ini adalah kali ketiga kami seri tetapi kami menang menerusi sepakan penalti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur itu menyaksikan kedua-dua pasukan sering menyerang namun gagal memecah kebuntuan pada separuh masa kedua.


Masuk separuh masa kedua, kedua-dua pasukan terus melakukan asakan demi asakan dan akhirnya KL Rovers membuka jaringan pada minit 50 menerusi Muhammad Hadi Mizei.

PIB yang tidak mudah mengalah terus mempamerkan aksi yang cukup berdisiplin dan akhirnya berjaya menjaringkan gol menerusi Muhammad Khairu Anwar pada minit ke-81 selepas menyambar bola muntah daripada penjaga gol yang tidak dapat menangkap kemas bola sepakan penalti.

Perlawanan tamat dengan terikat 1-1 dan diheret ke masa tambahan namun kedua-dua pasukan masih gagal menjaringkan gol kemenangan dan akhirnya terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti yang menyaksikan PIB menang 5-3.

Dalam pada itu, Ramachandran memberitahu beliau sudah pun membuat persiapan untuk PIB menghadapi perlawanan play-off Liga Super yang mana mereka berkemungkinan akan bertemu dengan pasukan Perak FC atau pun UiTM FC.

“Persiapan kita dah buat cuma sekarang ini kita tunggu masa sahaja dan siapa lawan kita nanti. Kami akan buktikan kemampuan kami nanti dan akan beri aksi terbaik.”

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen